
KUALA KRAI: Kegembiraan lima remaja mandi di Sungai Kelantan bertukar tragedi apabila dua daripada mereka dikhuatiri lemas dalam kejadian Kampung Batu Mengkebang, Jalan Batu Lada, Aur Duri di sini petang tadi.
Dalam kejadian sekitar pukul 6.30 petang, dua remaja berusia 14 tahun yang dikhuatiri lemas itu dikenali sebagai Mohd. Rayyan Hakimi dan Luth Naiman Mohd. Noraziron.
Seorang penduduk Muhammad Bukhari Mohd. Zawawi, 38, kejadian itu diketahuinya selepas mereka panggilan daripada bapa sepupunya, Zaidin Musa, 49, yang meminta bantuan untuk menghubungi pasukan penyelamat.
“Saya terus menghubungi bomba untuk mendapatkan bantuan kecemasan. Mengikut cerita bapa sepupunya, semasa kejadian dia sedang memancing udang di sungai berkenaan.
“Dia (bapa sepupu) kemudian dikejutkan dengan kehadiran tiga remaja yang meminta bantuan dan memaklumkan dua rakannya lemas di sungai berkenaan,” katanya ketika dihubungi di sini sebentar tadi.
“Menurut bapa sepupu semasa kejadian hujan lebat. Saya pun tanpa berlengah terus menghubungi pihak bomba untuk meminta bantuan,” katanya ketika dihubungi.
Sementara itu, Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kuala Krai, Pegawai Bomba Kanan I Muhammad Aiman Aminuddin memberitahu, seramai tujuh anggota termasuk pegawai terus ke lokasi kejadian sejurus menerima panggilan kecemasan pada pukul 6.39 petang.
Katanya, walaupun pandangan agak terhad susulan hujan lebat namun pihaknya memulakan operasi dengan melakukan carian di permukaan sungai.
“Bagaimanapun operasi terpaksa ditangguhkan kerana keadaan cuaca tidak mengizinkan dan akan disambung esok,” ujarnya.-UTUSAN
The post Mandi di sungai Kelantan, dua remaja berusia 14 tahun dikhuatiri lemas appeared first on Utusan Malaysia.






