
JASIN: Polis menahan dua lelaki yang dipercayai terlibat dalam kes samun berkawan bersenjatakan pisau di sebuah kedai serbaneka di Taman Maju di sini, pada 6 Ogos lalu.
Kedua-dua suspek berusia 44 dan 45 tahun itu diberkas dalam operasi berasingan kira-kira pukul 4.30 petang semalam oleh sepasukan pegawai dan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Daerah (BSJD) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Jasin dengan kerjasama Jabatan Siasatan Jenayah IPD Tangkak.
Ketua Polis Daerah Jasin, Superintenden Lee Robert berkata, suspek pertama ditahan di Pekan Jasin, manakala suspek kedua ditahan di Sagil, Tangkak, Johor.
Katanya, hasil siasatan mendapati kedua-dua suspek mengaku terlibat dalam kejadian tersebut, dengan suspek pertama bertindak membawa motosikal dan menunggu di luar premis, manakala suspek kedua masuk ke dalam kedai untuk melakukan samun.
“Siasatan juga mendapati kedua-dua suspek mempunyai rekod jenayah lampau, masing-masing 22 dan 30 rekod, manakala suspek kedua merupakan Orang Pengawasan Polis (OPP) IPD Tangkak,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut beliau, polis turut merampas pelbagai barangan dipercayai berkaitan kes termasuk tiga telefon bimbit, dua topi keledar, pakaian, kasut, sebuah motosikal KTM Duke 200, sebilah pisau pemotong kertas, jam tangan, beg dan beberapa anak kunci.
Dalam kejadian kira-kira pukul 8.10 malam pada 6 Ogos lalu, seorang wanita menghubungi Pusat Kawalan Daerah IPD Jasin memaklumkan berlaku kejadian samun di premis berkenaan.
Suspek ketika kejadian dipercayai memakai topi keledar dan jaket berwarna gelap.
Kedua-dua suspek direman selama tujuh hari bermula hari ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan kerana melakukan samun berkawan bersenjatakan senjata berbahaya.-UTUSAN
The post Polis tahan dua suspek samun bersenjata kedai serbaneka ditahan appeared first on Utusan Malaysia.






