Dua sekawan maut dirempuh kereta ketika berbasikal di tepi lebuh raya

4 Sep 2026 • 3:44 PM MYT
Kosmo Online
Kosmo Online

Hub berita berintegriti dan sensasi dalam dan luar negara.

Image from: Dua sekawan maut dirempuh kereta ketika berbasikal di tepi lebuh raya

KOTA BHARU – Dua sekawan maut selepas basikal yang mereka tunggang ketika menjalani sesi latihan berbasikal untuk menyertai konvoi ke Thailand dirempuh sebuah kereta dipercayai terbabas ketika memotong kenderaan lain di Kilometer 18, Lebuh Raya Kota Bharu-Kuala Krai dekat Ketereh di sini hari ini.

Dalam kejadian kira-kira pukul 9.30 pagi itu, Zamri Rismawadi Mahmat, 50 dan rakannya yang berusia dalam lingkungan 40-an meninggal dunia di lokasi kejadian selepas kedua-dua mangsa mengalami kecederaan parah pada anggota badan.

Abang kepada Allahyarham Zamri Rismawadi, Zamri Risman, 52, berkata, dia merupakan perwakilan dari Selangor yang menghadiri Majlis Perasmian Muktamar Pas di Pusat Tarbiah Islamiah Kelantan, Pengkalan Chepa di sini menerima maklumat mengenai kejadian menimpa adiknya kira-kira pukul 10.45 pagi.

Menurutnya, dia terus bergegas ke lokasi kejadian, namun jenazah adiknya sudah dibawa oleh pihak polis ke Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II) di sini.

“Saya terkilan kerana tidak sempat berjumpa dengannya kerana baru sampai ke Kelantan malam tadi. Saya memang berhajat untuk bertemu Allahyarham Zamri Rismawadi kerana kami sudah dua bulan tidak bertemu mata.

“Difahamkan, arwah adik sedang dalam sesi latihan menunggang basikal sebagai persiapan untuk menyertai konvoi berbasikal ke Thailand pada minggu depan,” katanya ketika ditemui pemberita di lokasi kejadian di sini hari ini.

Zamri Risman memberitahu, Allahyarham adiknya bekerja di HRPZ II tinggal bersendirian di rumahnya di Kampung Rupek, Pasir Hor di sini selepas berpisah dengan isterinya. – KOSMO! ONLINE

The post Dua sekawan maut dirempuh kereta ketika berbasikal di tepi lebuh raya appeared first on Kosmo Digital.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved