Dua sekolah Orang Asli di Gua Musang dinaik taraf K11 - Fadhlina

LocalPolitics
15 Sep 2026 • 12:07 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Dua sekolah Orang Asli di Gua Musang dinaik taraf K11 - Fadhlina
Fadhlina bersama murid-murid SK Bihai. Foto: FB Fadhlina Sidek

GUA MUSANG - Dua Sekolah Model Khas Komprehensif 9 (K9), iaitu Sekolah Kebangsaan (SK) Bihai dan SK Sri Permai di sini dinaik taraf kepada Sekolah Model Khas Komprehensif 11 (K11) yang membolehkan murid meneruskan pendidikan sehingga ke tingkatan lima.

Menteri Pendidikan, Datuk Seri Fadhlina Sidek berkata, langkah itu penting bagi memastikan anak-anak Orang Asli mendapat akses dan jaminan pendidikan sehingga peringkat sekolah menengah serta tidak terus tercicir.

"Di Gua Musang ini, setakat hari ini kita akan ada dua sekolah anak Orang Asli yang telah pun dinaik taraf daripada K9 ke K11. Maknanya, kalau K9 setakat tingkatan tiga, K11 sampai tingkatan lima. Jadi, anak-anak ini semua akan dapat akses dan jaminan pendidikan sehingga sekolah menengah di Gua Musang sendiri,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas menghadiri Program Tindak Susul Parlimen Siri 3 Tahun 2026 di SK Gua Musang di sini hari ini.

Fadhlina berkata, pembangunan pendidikan untuk anak-anak Orang Asli juga perlu diperkukuh, khususnya dari sudut sokongan ibu bapa.

Menurut Fadhlina, sekolah anak Orang Asli sebelum ini bermula sebagai sekolah rendah sebelum dinaik taraf kepada K9 dan seterusnya K11.

"Jadi, termasuk anak Orang Asli juga. Sebab itu sekolah-sekolah anak Orang Asli ini, macam saya sebut tadi, asalnya sekolah rendah, kemudian kami naik K9, kemudian kami naik K11. Jadi, untuk tangani perkara-perkara itulah supaya mereka tidak terus tercicir dan diberikan keutamaan serta perhatian dalam pendidikan negara,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata, sokongan terhadap pembelajaran anak-anak turut melibatkan guru, ibu bapa dan pihak berkepentingan lain.

Fadhlina berkata, beliau mengakhiri Program Tindak Susul Parlimen yang bermula dari Kuala Lipis, Pahang hingga ke Gua Musang, dengan antara tumpuannya ialah memastikan persiapan guru dalam aspek latihan pedagogi, pembinaan komuniti dan pedagogi rimba.

"Saya singgah di IPG (Institut Pendidikan Guru) Tengku Ampuan Afzan untuk memastikan persiapan kami, khususnya latihan pedagogi dan pembinaan komuniti, yang kami sebut sebagai pedagogi rimba itu diperkukuhkan di peringkat latihan guru,” katanya.

Beliau berkata sokongan kepada sekolah turut diberikan dalam pelbagai bentuk termasuk papan pintar, tablet, bantuan sekolah dan sokongan untuk kegiatan guru, sekali gus diharapkan dapat membantu sekolah terus mencipta kecemerlangan. - Bernama 

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved