
GUA MUSANG – Dua sekolah Orang Asli di Kelantan kini dinaik taraf daripada Sekolah Model Khas Komprehensif (K9) kepada K11 bagi membolehkan murid meneruskan pendidikan sehingga tingkatan lima tanpa perlu keluar dari kawasan penempatan mereka.
Menteri Pendidikan, Datuk Seri Fadhlina Sidek berkata, dua sekolah terbabit ialah Sekolah Kebangsaan (SK) Bihai di Pos Bihai dan SK Sri Permai di Pos Pasik.
Katanya, peningkatan status sekolah berkenaan merupakan antara usaha Kementerian Pendidikan memperkukuh akses pendidikan dalam kalangan anak Orang Asli selain membantu mengurangkan risiko keciciran.
“Setakat hari ini, kita akan ada dua sekolah Orang Asli di Gua Musang yang telah dinaik taraf daripada K9 kepada K11 iaitu SK Bihai dan SK Sri Permai di Pos Pasik.
“Anak-anak Orang Asli ini akan mendapat akses pendidikan dan jaminan pendidikan sehingga sekolah menengah di perkampungan mereka sendiri,” katanya selepas Program Tindak Susul Parlimen Siri 3 Parlimen Gua Musang di SK Gua Musang di sini hari ini.
Fadhlina memberitahu, langkah itu turut memberi ruang kepada murid Orang Asli untuk mendapatkan pendidikan menengah tanpa perlu berjauhan daripada keluarga.
Katanya, sokongan ibu bapa dan guru juga penting dalam memastikan anak-anak Orang Asli terus mendapat pendidikan yang sewajarnya termasuk dari aspek penguasaan literasi.
“Kita tidak guna perkataan buta huruf, kita guna perkataan penguasaan literasi kepada generasi yang kita perkukuhkan di pelbagai peringkat.
“Disebabkan itu intervensi, sokongan guru dan sokongan ibu bapa sentiasa menjadi keutamaan kita termasuk anak Orang Asli,” katanya.
Sementara itu, Ahli Parlimen Gua Musang, Dr. Mohd. Azizi Abu Naim menyambut baik peningkatan status kedua-dua sekolah berkenaan yang disifatkan memberi manfaat besar kepada masyarakat Orang Asli.
Katanya, kemudahan itu membolehkan anak-anak Orang Asli meneruskan persekolahan sehingga tingkatan lima di kawasan sendiri tanpa perlu keluar dari penempatan mereka untuk mendapatkan pendidikan menengah.
“Dengan taraf K11, anak-anak Orang Asli boleh meneruskan persekolahan di kawasan sendiri dan tidak perlu berjauhan daripada keluarga untuk mendapatkan pendidikan menengah.
“Ini satu perkembangan yang sangat baik kerana memberi peluang kepada mereka untuk terus belajar dan membina masa depan seperti murid serta pelajar di kawasan bandar,” katanya. – KOSMO! ONLINE
The post Dua sekolah Orang Asli di Kelantan dinaik taraf model K11 appeared first on Kosmo Online.






