Dua sekolah Orang Asli di Kelantan dinaik taraf kepada model K11

15 Sep 2026 • 12:39 PM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: Dua sekolah Orang Asli di Kelantan dinaik taraf kepada model K11

GUA MUSANG: Dua sekolah Orang Asli di Kelantan dinaik taraf daripada Sekolah Model Khas Komprehensif (K9) kepada K11 bagi membolehkan murid meneruskan pendidikan sehingga tingkatan lima tanpa perlu keluar dari kawasan penempatan mereka.

Menteri Pendidikan, Datuk Seri Fadhlina Sidek berkata, dua sekolah terbabit ialah Sekolah Kebangsaan (SK) Bihai di Pos Bihai dan SK Sri Permai di Pos Pasik.

Katanya, peningkatan status sekolah berkenaan adalah antara usaha Kementerian Pendidikan memperkukuh akses pendidikan dalam kalangan anak Orang Asli selain membantu mengurangkan risiko keciciran.

“Anak-anak Orang Asli ini akan mendapat akses pendidikan dan jaminan pendidikan sehingga sekolah menengah di perkampungan mereka sendiri,” katanya selepas Program Tindak Susul Parlimen Siri 3 Parlimen Gua Musang di SK Gua Musang, di sini hari ini.

Fadhlina berkata, langkah itu turut memberi ruang kepada murid Orang Asli untuk mendapatkan pendidikan menengah tanpa perlu berjauhan daripada keluarga.

Katanya, sokongan ibu bapa dan guru juga penting dalam memastikan anak-anak Orang Asli terus mendapat pendidikan yang sewajarnya termasuk dari aspek penguasaan literasi.

“Kita tidak guna perkataan buta huruf, kita guna perkataan penguasaan literasi kepada generasi yang kita perkukuh di pelbagai peringkat.

“Disebabkan itu intervensi, sokongan guru dan sokongan ibu bapa sentiasa menjadi keutamaan kita termasuk anak Orang Asli,” katanya. – UTUSAN

The post Dua sekolah Orang Asli di Kelantan dinaik taraf kepada model K11 appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved