Dua sindiket penipuan pelaburan tumpas, 9 individu ditahan

LocalBusiness & Finance
11 Jun 2026 • 8:26 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Dua sindiket penipuan pelaburan tumpas, 9 individu ditahan
Azizee

BUTTERWORTH – Taktik sindiket penipuan pelaburan tidak wujud yang menyasarkan mangsa dari Singapura menerusi platform media sosial Tantan terbongkar selepas polis menyerbu sebuah premis yang dijadikan pusat panggilan (call centre) di sekitar Butterworth.

Serbuan yang dijalankan pada Rabu itu dilakukan oleh sepasukan pegawai dan anggota Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman bersama Bahagian Siasatan Jenayah Komersial Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seberang Perai Utara.

Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Azizee Ismail berkata, hasil operasi berkenaan, polis menahan empat lelaki tempatan berusia antara 20 hingga 36 tahun yang dipercayai terbabit dalam kegiatan mempromosikan pelaburan palsu secara dalam talian.

"Sindiket terbabit dipercayai menggunakan premis berkenaan sebagai pusat operasi untuk memperdayakan mangsa melalui komunikasi dalam talian.

“Dalam serbuan itu, polis turut merampas lima telefon bimbit, tiga komputer riba, sebuah modem, satu kad akses dan satu kunci rumah yang dipercayai digunakan bagi kegiatan jenayah berkenaan,” katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Menurut beliau, kes disiasat mengikut Seksyen 420 dan Seksyen 120B Kanun Keseksaan atas kesalahan menipu serta pakatan jenayah.

"Jika sabit kesalahan, mereka boleh dihukum penjara antara satu hingga 10 tahun, sebatan serta denda.

"Kesemua suspek akan dibawa ke mahkamah bagi permohonan reman untuk membantu siasatan," ujarnya.

Dalam kes berasingan, satu sindiket pusat panggilan (call centre) yang dipercayai menjalankan penipuan pelaburan dan pertukaran mata wang kripto USDT dengan menyasarkan mangsa dari China berjaya ditumpaskan dalam serbuan di sebuah premis di Batu Feringgi, George Town pada Rabu.

Azizee berkata, operasi dijalankan oleh sepasukan pegawai dan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Ibu Pejabat Polis Daerah Timur Laut susulan maklumat berkaitan aktiviti penipuan dalam talian berkenaan.

"Serbuan itu membawa kepada penahanan lima warga asing terdiri daripada tiga lelaki dan dua wanita berusia antara 24 hingga 46 tahun yang dipercayai terbabit dalam kegiatan menawarkan pelaburan serta pertukaran mata wang kripto tidak wujud secara dalam talian.

"Sindiket berkenaan dipercayai menyasarkan mangsa dari China dengan menggunakan kaedah komunikasi dalam talian bagi memperdayakan mereka untuk membuat pelaburan.

“Dalam serbuan tersebut, polis turut merampas 10 telefon bimbit, empat komputer riba, sebuah unit CPU, dua papan kekunci, tiga tetikus, sebuah penghala (router) dan sebuah monitor yang dipercayai digunakan bagi menjalankan kegiatan jenayah berkenaan,” katanya.

Menurut beliau, kes disiasat mengikut Seksyen 420 dan Seksyen 120B Kanun Keseksaan atas kesalahan menipu serta pakatan jenayah.

"Kejayaan operasi itu adalah hasil maklumat dan kerjasama orang awam yang membantu polis membanteras jenayah komersial serta penipuan siber.

"Maklumat yang diterima membolehkan JSJK Pulau Pinang menjalankan tindakan risikan sebelum serbuan dilakukan sehingga berjaya melumpuhkan sindiket penipuan antarabangsa yang dipercayai menjadikan negeri ini sebagai pusat operasi," ujarnya lagi.