
KUALA LUMPUR – Polis menahan dua lelaki tempatan bagi membantu siasatan kes seorang lelaki yang ditemui tidak sedarkan diri dengan kecederaan parah, empat bulan lalu.
Ketua Polis Daerah Cheras, Asisten Komisioner Mohd. Rosdi Daud berkata, kedua-dua suspek berusia awal 30-an itu ditahan di sekitar kawasan perumahan Razak City Residences, semalam.
Menurutnya, kejadian berlaku pada 9 April lalu apabila seorang lelaki tempatan berusia awal 29 tahun ditemui dalam keadaan tidak sedarkan diri berhampiran kuil di kawasan Salak South.
Beliau berkata, hasil siasatan mendapati kejadian dipercayai berpunca daripada pertengkaran kedua-dua pihak.
Menurutnya, semakan mendapati suspek pertama mempunyai satu rekod dikehendaki di bawah Seksyen 354 Kanun Keseksaan, manakala suspek kedua mempunyai dua rekod lampau berkaitan kesalahan dadah.
“Polis turut merampas sebuah gelang tangan besi yang dipercayai digunakan dalam kejadian,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Kedua-dua suspek kini ditahan selama satu hari bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 326 Kanun Keseksaan. – KOSMO! ONLINE
The post Dua suspek ditahan kes lelaki ditemui tidak sedarkan diri appeared first on Kosmo Digital.






