Tujuh warga Indonesia termasuk ‘transporter’ ditahan di Pengerang

16 Aug 2026 • 3:02 PM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: Tujuh warga Indonesia termasuk ‘transporter’ ditahan di Pengerang

KOTA TINGGI: Tujuh lelaki warganegara Indonesia termasuk seorang berperanan sebagai transporter ditahan polis dalam serbuan di tepi jalan berhampiran tapak perkhemahan Tanjung Punggai Bayu Damai, Pengerang, di sini malam tadi.

Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Superintenden Yusof Othman berkata, hasil maklumat awam, sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Tinggi menahan kesemua suspek berusia 26 hingga 33 tahun kira-kira pukul 11 malam.

Beliau berkata, pemeriksaan awal mendapati kesemua suspek disyaki hendak diseludup keluar ke negara jiran menerusi laluan yang tidak diwartakan.

“Pemeriksaan lanjut mendapati kesemua suspek gagal mengemukakan sebarang dokumen perjalanan diri yang sah untuk tinggal di negara ini.

“Dalam serbuan sama, polis turut menahan seorang lelaki warganegara Indonesia yang bertindak sebagai transporter serta merampas sebuah kereta jenis Proton X50 yang digunakan bagi kegiatan penyeludupan migran berkenaan,” katanya dalam kenyataan, di sini hari ini.

Beliau berkata, kesemua suspek dan barang rampasan dibawa ke IPD Kota Tinggi untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 26A Akta Pemerdagangan Orang dan Penyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007 serta Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63.

“Jika sabit kesalahan di bawah Seksyen 26A ATIPSOM 2007, pesalah boleh dihukum penjara maksimum lima tahun dan denda tidak melebihi RM250,000 atau kedua-duanya sekali.

“Bagi kesalahan di bawah Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 pula, hukuman denda tidak melebihi RM10,000 atau penjara sehingga lima tahun atau kedua-duanya serta boleh dikenakan tidak lebih enam sebatan,” jelasnya.

Sehubungan itu, beliau memohon kerjasama orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kegiatan penyeludupan migran agar tampil memberi maklumat di mana-mana balai polis berdekatan atau menghubungi hotline IPD Kota Tinggi di talian 07-8831222.-UTUSAN

The post Tujuh warga Indonesia termasuk ‘transporter’ ditahan di Pengerang appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved