
SHAH ALAM – Kegiatan penipuan lelaki yang menyamar sebagai pengawal peribadi sulit Raja Muda Selangor dipercayai dilakukan sejak 2024 dengan kerugian kira-kira RM700,000.
Ketua Polis Selangor, Datuk Shazeli Kahar berkata, perkara itu berdasarkan sembilan laporan polis diterima pihaknya setakat ini.
Katanya, semakan mendapati suspek utama, Al Zulfadly Alias, 40, bukan kakitangan istana atau mempunyai sebarang kaitan dengan institusi Diraja Selangor.
“Mengikut laporan polis, kegiatan penipuan ini dilakukan sejak 2024.
“Dia tiada kaitan dengan institusi Diraja Selangor atau kakitangan istana. Suspek hanya orang biasa yang mengambil kesempatan untuk melakukan penipuan,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor di sini hari ini.
Menurut beliau, semakan turut mendapati suspek tidak mempunyai rekod jenayah lampau.
Bagaimanapun, katanya, sebanyak 19 laporan polis membabitkan suspek diterima secara keseluruhan, termasuk di beberapa kontinjen polis lain.

“Usaha mengesan suspek sedang giat dilakukan. Orang ramai yang mempunyai maklumat diminta menghubungi pegawai penyiasat, Sarjan Norizuana Saidin di talian 014-7175567,” katanya.
Dalam perkembangan sama, Shazeli berkata, polis turut menahan tunang suspek utama di sekitar negeri ini bagi membantu siasatan.
Wanita berusia lingkungan 30-an yang merupakan pengusaha salon itu kini direman bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.
“Kita juga sedang mengesan beberapa individu lain yang dipercayai membantu kegiatan suspek lelaki itu,” katanya.
Kosmo! sebelum ini melaporkan polis sedang menjalankan siasatan selepas laporan diterima daripada Pejabat Kawalan Keselamatan Sultan
Selangor di Istana Mestika pada pukul 9.53 pagi, 15 Oktober lalu berhubung penyalahgunaan gambar Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah.
Pentadbiran Istana Selangor dalam kenyataan turut memaklumkan tidak akan melindungi mana-mana pihak yang terlibat dalam kes penyamaran berkenaan.
Salah seorang mangsa yang juga pelakon, Muhammad Ridzuan Shahul Hamid, 34, memberitahu, dia mengenali dalang pasangan tersebut melalui kenalannya sebelum ditawarkan rumah berharga RM115,000 di Wangsa Maju, Kuala Lumpur pada 2023.
Dwan Hamid yang juga pelakon berkata, individu itu mendakwa RMS mempunyai kuota 40 hingga 50 rumah bagi setiap projek di Selangor termasuk rumah kos rendah dengan bayaran deposit sebanyak RM15,000. – KOSMO! ONLINE
The post Dua tahun menyamar ADC Raja Muda Selangor, kaut RM700,000 appeared first on Kosmo Online.






