Polis buru suspek menyamar pengawal peribadi Raja Muda Selangor, tipu RM700,000

LocalPolitics
23 Oct 2026 • 10:53 AM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Polis buru suspek menyamar pengawal peribadi Raja Muda Selangor, tipu RM700,000
Shazeli (tengah) pada sidang media di IPK Selangor

SHAH ALAM – Kegiatan seorang lelaki yang didakwa menyamar sebagai pengawal peribadi sulit Raja Muda Selangor dipercayai aktif sejak tahun 2024 dengan nilai kerugian keseluruhan dianggarkan mencecah RM700,000.

Ketua Polis Selangor, Datuk Shazeli Kahar berkata, anggaran kerugian itu berdasarkan sembilan laporan polis yang diterima setakat ini berkaitan kegiatan penipuan suspek.

Menurutnya, hasil semakan mendapati suspek utama berusia 40 tahun itu bukan kakitangan istana dan tidak mempunyai sebarang kaitan dengan Institusi Diraja Selangor.

“Semakan mendapati suspek utama berusia 40 tahun itu bukan kakitangan istana atau mempunyai sebarang kaitan dengan Institusi Diraja Selangor.

“Mengikut laporan polis, kegiatan penipuan ini dilakukan sejak 2024,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor pada Jumaat.

Shazeli berkata, suspek dipercayai mengambil kesempatan menggunakan nama serta imej yang mempunyai kaitan dengan keluarga diraja bagi memperdaya mangsa.

“Dia tidak mempunyai kaitan dengan Institusi Diraja Selangor atau kakitangan istana. Suspek hanyalah orang biasa yang mengambil kesempatan untuk melakukan penipuan,” katanya.

Menurut beliau, semakan mendapati suspek tidak mempunyai rekod jenayah lampau.

Bagaimanapun, polis menerima sebanyak 19 laporan yang mempunyai kaitan dengan suspek tersebut termasuk beberapa laporan yang direkodkan di kontinjen polis lain.

Susulan itu, usaha mengesan lelaki berkenaan sedang giat dijalankan.

“Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai suspek diminta menghubungi pegawai penyiasat, Sarjan Norizuana Saidin di talian 014-7175567,” katanya.

Dalam perkembangan sama, Shazeli berkata, polis turut menahan tunang kepada suspek bagi membantu siasatan.

Wanita berusia lingkungan 30-an yang merupakan seorang pengusaha salon itu kini direman bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.

“Kita juga sedang mengesan beberapa individu lain yang dipercayai membantu kegiatan suspek lelaki itu,” katanya.

Sebelum ini, polis membuka siasatan selepas menerima laporan daripada Pejabat Kawalan Keselamatan Sultan Selangor di Istana Mestika pada 15 Oktober lalu berhubung dakwaan penyalahgunaan gambar Raja Muda Selangor.

Terdahulu, Pentadbiran Istana Selangor menegaskan pihaknya tidak akan melindungi mana-mana individu yang terlibat dalam kegiatan penyamaran atau penyalahgunaan nama institusi diraja.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved