
SEREMBAN – Dua lelaki tempatan berusia lingkungan 20-an ditahan polis selepas disyaki terbabit dalam kes pecah masuk sebuah klinik di Seremban 2, di sini, pada 3 Ogos lalu.
Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Mohd Yatim Osman berkata, kejadian terbongkar selepas seorang pembantu klinik mendapati premis berkenaan dipecah masuk dan berselerak dengan mendapati beberapa barangan serta wang tunai hilang.
“Semakan rakaman televisyen litar tertutup mendapati seorang lelaki memasuki premis kira-kira pukul 4 pagi dengan cara mengumpil pintu belakang klinik.
“Bertindak hasil risikan dan maklumat diterima, sepasukan pegawai dan anggota dari Bahagian Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Daerah Seremban menjalankan operasi di sekitar Kajang, Selangor, pada 11 Ogos lalu dan menahan dua lelaki tempatan berusia lingkungan 20-an,” katanya ketika dihubungi.
Mohd Yatim berkata, polis turut merampas beberapa helai pakaian, telefon bimbit, sebuah beg serta sebuah Toyota Vios berwarna merah dengan soal siasat awal mendapati kedua-dua suspek mengaku terbabit dalam kes yang sedang disiasat.
“Suspek pertama dipercayai berperanan melakukan pecah masuk ke premis, manakala suspek kedua bertindak sebagai pemandu kenderaan.
“Siasatan lanjut juga mendapati kedua-dua suspek dipercayai mempunyai kaitan dengan beberapa kes pecah masuk premis lain di sekitar Seremban dan kawasan berdekatan,” katanya. – KOSMO! ONLINE
The post Umpil pintu belakang, dua lelaki ditahan pecah masuk klinik appeared first on Kosmo Digital.






