KUANTAN - Dua wanita yang bekerja di dua taska berasingan di Mentakab dan Kuantan direman selama enam hari bermula hari ini hingga 12 September bagi membantu siasatan berhubung dakwaan mengasari kanak-kanak di bawah jagaan mereka.
Pemangku Ketua Polis Pahang, Datuk Azry Akmar Ayob berkata, kedua-dua suspek masing-masing direman di Mahkamah Majistret Temerloh dan di Mahkamah Majistret Kuantan selepas ditahan susulan laporan polis serta penularan rakaman video kejadian di media sosial.
“Bagi kes di Mentakab, seorang pembantu taska berusia 25 tahun ditahan bagi membantu siasatan dakwaan kekasaran terhadap seorang kanak-kanak perempuan berusia dua tahun.
“Di Kuantan pula, seorang wanita berusia 31 tahun ditahan bagi membantu siasatan dakwaan mengasari seorang kanak-kanak lelaki berusia dua tahun lapan bulan,” katanya pada Isnin.
Pada Ahad, Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Ashari Abu Samah dilaporkan berkata, seorang wanita ditahan bagi membantu siasatan berhubung dakwaan mengasari kanak-kanak lelaki berusia dua tahun lapan bulan di sebuah taska di Bukit Setongkol, Kuantan.
Kejadian dipercayai berlaku pada 11 Ogos lalu, manakala rakaman yang tular menunjukkan mangsa dimarahi, ditarik rambut serta digoncang kepalanya.
Mangsa turut dibawa ke Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) untuk pemeriksaan lanjut.
Pada Sabtu, Ketua Polis Daerah Temerloh, Asisten Komisioner Mohd Nasyim Bahron berkata, pihaknya membuka kertas siasatan berhubung dakwaan seorang pengasuh melakukan kekasaran terhadap kanak-kanak perempuan berusia dua tahun di sebuah taska di Mentakab.
Kes disiasat mengikut Seksyen 31(1) Akta Kanak-Kanak 2001 selepas ibu mangsa membuat laporan dan polis mengesan rakaman kejadian yang tular di media sosial.





