
TAIPING – Seorang anggota polis bantuan Plus Malaysia (Plus) maut selepas dilanggar kereta jenis Perodua Myvi di Kilometer 231.3, Lebuh Raya Utara-Selatan arah utara pagi tadi.
Ketua Polis Daerah Taiping, Asisten Komisioner Saravanan A. Shanmugam berkata, nahas pada pukul 7 pagi itu mengorbankan mangsa yang berusia 36 tahun.
Polis menerima maklumat mengenai kemalangan itu daripada pihak lebuh raya pada pukul 8.05 pagi.
“Siasatan awal mendapati nahas melibatkan kereta Perodua Myvi yang dipandu lelaki berusia 23 tahun. Kereta itu dipercayai terlanggar mangsa yang bertugas sebagai peronda Plus,” katanya dalam kenyataan malam ini.
Menurut Saravanan, ketika kejadian pemandu kereta itu dalam perjalanan dari Shah Alam, Selangor ke Bayan Lepas, Pulau Pinang.
“Mangsa mengalami kecederaan di bahagian kepala, tangan dan kaki, manakala pemandu kereta pula tidak cedera,” katanya.
Orang ramai yang mempunyai maklumat diminta menghubungi Pegawai Penyiasat Trafik, Inspektor Mohd. Shahrin Mohamad di talian 017-9266286.
Kes tersebut disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. – KOSMO! ONLINE
The post Polis bantuan Plus maut dilanggar Myvi appeared first on Kosmo Online.






