Dua Warga Asing Direman Bantu Siasatan Kematian Kanak-kanak Lima Tahun

26 Jul 2026 • 11:03 PM MYT
The Malaysian Update
The Malaysian Update

Portal berita pilihan anda untuk isu semasa, politik, hiburan, & banyak lagi

Image from: Dua Warga Asing Direman Bantu Siasatan Kematian Kanak-kanak Lima Tahun

GEORGE TOWN, 26 Julai (Bernama) — Seorang lelaki dan seorang wanita warga asing direman bagi membantu siasatan berkaitan kematian seorang kanak-kanak lelaki berusia lima tahun di Gelugor, di sini Khamis lepas.

Ketua Polis Daerah Timur Laut ACP Abdul Rozak Muhammad berkata lelaki dan wanita berusia lingkungan 30-an itu, yang juga jiran kanak-kanak terbabit ditahan pada Jumaat.

“Susulan penahanan mereka, polis kini telah menahan empat individu bagi membantu siasatan termasuk ibu kanak-kanak lelaki terbabit dan teman lelakinya,” katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

Beliau berkata berdasarkan laporan bedah siasat, kanak-kanak itu didapati meninggal dunia akibat cedera pada kepala dan badan akibat hentakan tumpul.

Sehubungan dengan itu, katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana bunuh dan polis juga sedang merekodkan keterangan beberapa individu lain bagi melengkapkan siasatan.

Sebelum ini perintah reman terhadap ibu kanak-kanak terbabit, yang berusia 30 tahun dan teman lelakinya berusia 34 tahun dikeluarkan Majistret Nadratul Naim Mohd Saidi hingga 30 Julai ini bagi membolehkan siasatan dijalankan mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001.

Dilaporkan kejadian itu terbongkar selepas lelaki warga Bangladesh yang tidak bekerja tersebut mendapati kanak-kanak itu muntah di pangsapuri disewa mereka di Gelugor kira-kira 10 pagi Khamis.

Dia kemudian membawa kanak-kanak itu ke sebuah klinik berhampiran ketika ibu mangsa sedang bekerja di sebuah restoran, namun, mangsa dilaporkan tidak sedarkan diri ketika di klinik lalu dipindahkan ke Hospital Pulau Pinang.

Mangsa kemudian disahkan meninggal dunia dan petugas hospital membuat laporan polis selepas menemukan kesan lebam pada beberapa bahagian badan kanak-kanak itu.

Kanak-kanak itu difahamkan anak kepada wanita warga Indonesia itu hasil perkahwinannya dengan seorang lelaki Rohingya yang meninggal dunia tahun lepas.

— BERNAMA

The post Dua Warga Asing Direman Bantu Siasatan Kematian Kanak-kanak Lima Tahun appeared first on The Malaysian Update.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved