
SHAH ALAM, 2 OKT: Dua lelaki warga Myanmar didakwa di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan menyebabkan kecederaan parah terhadap seorang anggota polis berpangkat koperal dalam kejadian di Kampung Pamah Kulat, Ulu Dong pada 25 September lalu.
Bagaimanapun, pertuduhan terhadap Ai Kyaw Lin Tun, 30, dan Ai Lin, 26, tidak dapat dibacakan di hadapan Hakim Siti Hajar Mustaffa kerana kedua-duanya tidak fasih berbahasa Melayu, lapor Kosmo!.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Wong Zhi Qian dan Hardave Singh Baldeb Singh, manakala kedua-dua tertuduh tidak diwakili peguam.
Dalam prosiding berasingan di Mahkamah Majistret, mereka turut berdepan pertuduhan berkaitan ketiadaan dokumen perjalanan sah serta memandu motosikal tanpa lesen.
Pertuduhan berkenaan juga belum dibacakan di hadapan Majistret Siti Aisyah Ahmad atas faktor bahasa.
Mahkamah menetapkan 14 Oktober ini untuk sebutan semula semua kes bagi membolehkan jurubahasa Myanmar dilantik. Tiada jaminan ditawarkan kepada kedua-dua tertuduh.

![[VIDEO] ‘Baju orang pun nak rembat’](https://imgproxy.newswav.com/139x0,q50=/https://www.kosmo.com.my/wp-content/uploads/2026/10/11577acd-e315-4c5f-be43-45331ecfd2dc-1024x552.jpeg)




