Duda dicekup berkhalwat bersama gadis 18 tahun

30 Aug 2026 • 12:06 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Duda dicekup berkhalwat bersama gadis 18 tahun
JAINJ menahan seorang duda berusia 40-an dan gadis 18 tahun di sebuah bilik sewa di Pasir Gudang selepas menerima aduan awam berkaitan kegiatan pasangan itu.

JOHOR BAHRU - Seorang lelaki berstatus duda berusia 40-an dan seorang gadis berusia 18 tahun ditahan Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAINJ) selepas ditemui dalam sebuah bilik sewa di rumah kedai di Pasir Gudang, kira-kira jam 2.15 pagi Ahad.

JAINJ dalam kenyataan memaklumkan, pasangan berkenaan ditahan susulan aduan awam berhubung kegiatan mereka di premis terbabit.

Menurut kenyataan itu, ketika pemeriksaan dijalankan, anggota penguat kuasa menemui lelaki berkenaan bersama anak lelakinya berusia sembilan tahun dan gadis terbabit di dalam bilik tersebut.

“Kanak-kanak itu tidur di lantai beralaskan selimut dan bantal, manakala gadis itu berada di atas katil bujang.

“Lelaki berstatus duda anak dua itu bekerja di Pasir Gudang, manakala gadis terbabit belum berkahwin dan tidak bekerja,” menurut kenyataan itu pada Ahad.

Ketika disoal siasat, pasangan itu pada awalnya memberi alasan gadis berkenaan datang ke bilik tersebut untuk membantu mengemas rumah.

Bagaimanapun, siasatan lanjut mendapati gadis berkenaan tinggal kira-kira 15 kilometer dari lokasi tangkapan dan dipercayai kerap mengunjungi premis tersebut antara dua hingga tiga kali seminggu.

“Lelaki itu merupakan penyewa bilik tersebut bersama anaknya manakala seorang lagi anaknya dijaga bekas isteri,” katanya.

JAINJ turut memaklumkan kanak-kanak berkenaan memanggil gadis itu dengan panggilan ‘mama’.

Bagaimanapun, ketika ditanya mengenai hubungan mereka, kedua-duanya mengaku sedang merancang untuk bernikah dalam waktu terdekat.

Pasangan berkenaan ditahan kerana disyaki melakukan kesalahan khalwat mengikut Seksyen 27 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah Negeri Johor.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved