LABUAN - Seorang lelaki berusia 57 tahun ditemukan mati di dalam sebuah bilik sewa di atas sebuah restoran di sepanjang Jalan OKK Abdullah di sini pada Rabu, dengan pihak polis mengesahkan tiada unsur jenayah ditemukan.
Ketua Polis Labuan, Superintenden Wan Mohd Firdaus Wan Zaki berkata, mangsa yang dikenali sebagai Tan Boon Tai dari Kampung Sabanoil, Papar, Sabah, dipercayai telah meninggal dunia lebih daripada lima hari.
Beliau berkata, pihak polis menerima panggilan pada jam 4.55 petang dan mendapati pintu bilik tersebut berkunci dari dalam, serta terdapat bau busuk yang kuat dari dalam bilik berkenaan.
"Jabatan Bomba dan Penyelamat dipanggil untuk memecahkan pintu dan lelaki itu ditemukan terbaring di atas tilam dalam keadaan sudah mereput.
"Pemeriksaan oleh Bahagian Siasatan Jenayah mendapati tiada sebarang elemen jenayah di tempat kejadian,” katanya kepada Bernama malam ini.
Wan Mohd Firdaus berkata, barangan peribadi mangsa berada dalam keadaan baik, bilik tersebut dalam keadaan kemas dan tiga papan ubat yang dipercayai milik mangsa turut ditemukan.
"Tiada saksi melihatnya dan kejadian ini disedari selepas orang ramai mengesan bau busuk itu. Tiada rakaman CCTV di premis berkenaan,” katanya.
Mayat mangsa dihantar ke Unit Forensik Hospital Labuan untuk proses bedah siasat.
Sementara itu, Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Labuan, Abdul Rahman Ali berkata pihak bomba tiba di premis tingkat dua itu pada jam 5.04 petang, selepas menerima panggilan kecemasan pada jam 4.55 petang.
Beliau berkata 14 anggota bomba daripada balai Rancha-Rancha dan Labuan Sentral, terlibat dalam operasi tersebut yang tamat pada jam 6.10 petang. - Bernama






