Duit bayar saman dah cukup, RM173,733 lagi Akmal Saleh mahu infakkan

LocalPolitics
23 Oct 2026 • 12:12 PM MYT
Kosmo Online
Kosmo Online

Hub berita berintegriti dan sensasi dalam dan luar negara.

Image from: Duit bayar saman dah cukup, RM173,733 lagi Akmal Saleh mahu infakkan

PETALING JAYA – Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr. Muhamad Akmal Saleh dijangka berjaya mencukupkan RM300,000 bagi membayar ganti rugi dan kos saman fitnah kepada Ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok menggunakan hasil jualan aset serta simpanan sendiri dan keluarga.

Menurut Akmal, motosikal Honda X-ADV kesayangannya berjaya dijual pada harga RM150,000, manakala jualan keseluruhan ikan daripada kolam ternakannya memperoleh hampir RM30,000.

“Menjadikan jumlah keseluruhan jualan kepada RM180,000. Pada masa sama, dicampur dengan jumlah simpanan saya dan keluarga, insya-Allah boleh mencukupkan kepada RM300,000 menjelang minggu hadapan,” katanya menerusi hantaran di media sosial hari ini.

Sebelum ini, Mahkamah Tinggi Melaka memerintahkan Akmal membayar keseluruhan RM300,000 kepada Teresa berhubung saman fitnah yang difailkan pada 2024.

Jumlah tersebut merangkumi RM250,000 ganti rugi dan RM50,000 kos mahkamah.

Susulan keputusan itu, Akmal menawarkan motosikal Honda X-ADV dan ikan tilapia ternakannya untuk dijual selepas memaklumkan simpanan sedia ada tidak mencukupi bagi menjelaskan jumlah berkenaan.

Bagaimanapun, orang ramai tetap menyalurkan sumbangan wang kepadanya meskipun Akmal sebelum ini meminta mereka tidak berbuat demikian.

Menurutnya, jumlah sumbangan diterima setakat kenyataan terbaharu itu dibuat sudah mencecah RM173,733.61.

“Walaupun ada yang menghina dengan kata-kata kesat dan prasangka jahat mengatakan apa yang saya buat ini adalah drama untuk saya memohon derma, tetapi saya ingin memaklumkan seperti kenyataan sebelum ini, saya hanya berniat untuk menjual aset yang saya ada untuk mencukupkan jumlah yang perlu dibayar.

“Tidak ada langsung niat untuk saya memohon derma selagi saya mampu untuk menanggungnya bersendirian,” katanya.

Sehubungan itu, Akmal memohon keizinan semua penyumbang untuk menginfakkan keseluruhan wang RM173,733.61 berkenaan kepada golongan yang lebih memerlukan.

“Setiap sen duit anda yang diberikan kepada saya akan saya serahkan kepada mereka yang lebih memerlukan.

“Segala perincian setiap sen yang akan diagihkan saya akan maklumkan di dalam media sosial saya,” katanya.

Pada masa sama, beliau sekali lagi meminta orang ramai berhenti memasukkan wang ke dalam akaunnya bagi membolehkan urusan pengagihan sumbangan berjalan lancar.

“Insya-Allah izinkan saya menjadi orang tengah untuk menyampaikan setiap sen yang anda sumbangkan kepada mereka yang memerlukan.

“Terhutang budi dan nyawa saya atas kebaikan yang anda berikan kepada saya. Terima kasih, terima kasih dan terima kasih,” katanya. – KOSMO! ONLINE

The post Duit bayar saman dah cukup, RM173,733 lagi Akmal Saleh mahu infakkan appeared first on Kosmo Online.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved