Terdapat sekitar 7159 bahasa yang digunakan di dunia dan adalah mustahil untuk kita memahami kesemuanya. Lazimnya sari kata digunakan untuk memahami kandungan bahasa asing tetapi ada yang terlalu malas untuk membaca. Meta AI Translations telah dilancarkan pagi ini dengan ia boleh melakukan alih suara video di Facebook dan Instagram secara automatik.

Meta AI Translations pada waktu ini hanya boleh melakukan alih bahasa Inggeris ke Sepanyol dan Sepanyol ke Inggeris sahaja. Ia boleh diakses pengguna Facebook dengan 1000 pengikut dan semua pengguna Instagram sekarang.

Apabila video dimuat naik, terdapat pilihan untuk mengubah suara menggunakan Meta AI. Ciri ini perlu diaktifkan secara manual dengan terdapat pilihan untuk turut menggerakkan bibir dalam video selari dengan audio bahasa baharu yang dijana AI. Selepas alih bahasa dilakukan, pengguna boleh memeriksa terlebih dahulu sebelum ia diterbitkan.
Meta AI Translations menyokong alih suara sehingga dua individu dalam satu video. Untuk alih bahasa optimum, pengguna digalakkan tidak bercakap secara bertindan, memastikan audio latar tidak bising dan sentiasa memandang kamera untuk memastikan bibir dapat diselarikan dengan audio baharu.



