
PONTIAN – “Kami hanya mampu berharap keajaiban daripada Allah.” Itu luahan pilu seorang ibu selepas anak sulungnya yang menjadi harapan keluarga kini terlantar selepas terlibat dalam kemalangan dengan sebuah kereta pada 26 Jun lalu.
Rohamima Sapari, 48, berkata, anaknya, Muhammad Haziq Mohd. Sahabudin, 24, terbabit dalam kemalangan di pintu sempadan Malaysia – Singapura di Tuas ketika dalam perjalanan ke tempat kerja di negara itu.
Menurutnya, anaknya yang menunggang motosikal dipercayai tercampak selepas sebuah kereta secara tiba-tiba masuk laluannya.
“Akibat kemalangan itu, kepala dan tengkuknya cedera, rahang hancur, manakala tangan patah. Dia juga mengalami kecederaan serius pada otak akibat hentakan kuat.
“Sebulan dia berada di Unit Rawatan Rapi (ICU), Hospital Sultanah Aminah (HSA), Johor Bahru sebelum dipindahkan ke wad biasa selama 14 hari dan dibenarkan pulang ke rumah pada bulan lalu,” katanya di sini.
Bagaimanapun, katanya, sehingga kini Muhammad Haziq masih tidak mampu bergerak dan hanya sesekali mengerdipkan mata apabila namanya dipanggil.
Lebih memilukan, menurut Rohamima, anak sulungnya itu baru sahaja menimang cahaya mata perempuan berusia tiga bulan sebelum tragedi tersebut meragut kehidupannya yang selama ini menjadi tonggak harapan keluarga.
“Dulu dia bekerja sebagai tukang gunting di Singapura sebelum bertukar kerja di sebuah gudang penghantaran kira-kira enam bulan lalu. Waktu kerjanya bermula pukul 8 pagi dan setiap hari dia berulang-alik dari Pekan Nanas ke Singapura,” katanya.
Rohamima berkata, Muhammad Haziq kini bergantung kepada susu formula yang berharga RM78 satu tin dan mampu bertahan dua hari, dengan anggaran sebulan sehingga 15 tin sebulan.
“Jumlah itu tidak termasuk lampin pakai buang. Dalam sebulan kami perlu kira-kira 10 beg lampin, setiap satu berharga RM17,” katanya.
Jelasnya, beban keluarga bertambah apabila perlu menyewa ambulans dengan bayaran antara RM700 hingga RM800 untuk rawatan susulan di HSA.
Orang ramai yang ingin menghulurkan bantuan boleh menghubungi Rohamima menerusi talian 010-4526263 atau menyalurkan sumbangan ke akaun Maybank 151155824312.
The post Dulu dia harapan keluarga, kini terlantar appeared first on Kosmo Digital.






![[VIDEO] Lemas Tanjung Lompat: ‘Baliklah Abang Chik, kami tunggu’](https://imgproxy.newswav.com/139x0,q50=/https://www.kosmo.com.my/wp-content/uploads/2026/09/WhatsApp-Image-2026-09-03-at-12.17.57-PM-1024x576.jpeg)