
PETALING JAYA – Sebanyak RM50,000 diperlukan bagi menampung kos rawatan, pembedahan dan hospital seorang lelaki yang kini kritikal selepas terlibat dalam kemalangan ketika memandu dari Yogyakarta ke Jakarta, Indonesia, Ahad lalu.
Ahmad Tarmizi Hazmee,30, anak kedua daripada enam beradik, kini masih menerima rawatan di RS Mitra Plumbon Subang, Jawa Barat dan berada dalam keadaan separa sedar.
Menurut abang sulungnya, Ahmad Bukhari, 32, tragedi itu turut meragut nyawa adik bongsu mereka, Muhammad Atiqullah, 20, manakala Tarmizi masih kritikal dan memerlukan rawatan lanjut di Indonesia.
“Kami sekeluarga amat terkesan dengan kejadian ini. Kami sangat berharap orang ramai dapat membantu meringankan kos rawatan yang diperlukan.
“Alhamdulillah, setakat ini jumlah sumbangan yang diterima sudah mencecah kira-kira RM30,000, namun kos rawatan sehingga hari ini (3 September) sudah mencecah RM28,000 yang ditanggung keluarga, tidak termasuk kos-kos lain,” katanya ketika dihubungi Kosmo! hari ini.
Beliau berkata, kejadian berlaku pada 30 Ogos lalu ketika Tarmizi yang baru mengambil alih pemanduan membawa ahli keluarganya dalam perjalanan dari Yogyakarta menuju Jakarta untuk meneruskan penerbangan pulang ke Malaysia.
Katanya, lima ahli keluarga mereka berada di Indonesia untuk bercuti, terdiri daripada Tarmizi bersama isteri dan anak serta dua adiknya, Adam dan Atiqullah.
“Ketika dalam perjalanan pulang dari Yogyakarta ke Jakarta, kenderaan yang dinaiki mereka terlibat dalam kemalangan di Kilometer 99 Lebuh Raya Tol Cipali. Perjalanan yang sepatutnya membawa kami pulang ke Malaysia bertukar tragedi apabila adik bongsu kami, Atiqullah, meninggal dunia dalam kemalangan itu,” katanya.
Atiqullah yang merupakan anak bongsu daripada enam beradik meninggal dunia pada hari sama sebelum jenazahnya dikebumikan di TPU Dunguswiru, Kecamatan Subang Kota pada 30 Ogos lalu.
Ahmad Bukhari berkata, urusan pengendalian jenazah adiknya turut dibantu pihak Kedutaan Besar Malaysia di Jakarta dan polis Indonesia yang banyak memudahkan urusan keluarga.
“Alhamdulillah, pihak polis bersama Kedutaan Malaysia di Jakarta sangat membantu dalam proses menguruskan jenazah adik saya, Muhammad Atiqullah. Mereka juga sangat mesra dan banyak memudahkan semua urusan yang perlu dilakukan secara langkah demi langkah,” katanya.
Sementara itu, keadaan Tarmizi yang masih belum stabil menyebabkan dia belum dapat dibawa pulang ke Malaysia untuk meneruskan rawatan.
Menurutnya, Tarmizi yang masih menggunakan ventilator untuk tempoh agak lama turut dikhuatiri mengalami jangkitan kuman pada paru-paru.
“Buat masa ini, adik saya masih dirawat di RS Mitra Plumbon Subang. Ada perancangan untuk memindahkannya ke hospital di Jakarta bagi mendapatkan rawatan lanjut kerana hospital sekarang tidak mempunyai kelengkapan mencukupi untuk rawatan yang diperlukan.
“Bagaimanapun, bila pemindahan itu akan dilakukan masih belum dapat dipastikan dan bergantung kepada keadaan kesihatannya,” katanya.
Sehubungan itu, keluarga memohon orang ramai terus mendoakan agar Tarmizi dipermudahkan segala urusan, diberikan kekuatan serta kesembuhan dan dapat kembali ke Malaysia dengan selamat.
Sumbangan boleh disalurkan ke akaun Maybank atas nama Ahmad Bukhari Hazmee, 503051552097 dengan catatan ‘Tarmizi’. – KOSMO! ONLINE
The post Tarmizi kritikal, adik maut di Indonesia, keluarga rayu bantuan RM50,000 appeared first on Kosmo Digital.




