
PETALING JAYA: Pelakon, Khayreena Kemal, berharap supaya diberi peluang untuk menggalas watak yang lebih dewasa selepas ini kerana kerap menerima karakter sebagai kanak-kanak walaupun dirinya kini sudah dewasa.
Khayreena atau Sittee Khayreena Nur Kemal, 25, berkata, meskipun usianya kini semakin matang, dia mengakui imej pelakon kanak-kanak masih sebati dengan dirinya dan berharap ada rezeki untuk membawa karakter yang lebih mencabar.
Khayreena berkata, pendedahan awal dalam industri menyebabkan banyak pihak terbiasa melihat dia dan adiknya, Khayrisyah, membawakan watak kanak-kanak.
“Saya sudah dewasa, harapnya lepas ini dapatlah peluang bawa watak-watak dewasa atau karakter yang lain. Sebab sebelum ini sudah terlalu kerap bawa watak kanak-kanak, jadi kalau ada rezeki teringin juga mahu cuba watak lebih matang.
“Sama ada sebab faktor muka atau kami tahu bagaimana bawa watak itu, saya anggap semuanya tetap rezeki. Apa orang mahu cakap kita endahkan sahaja, kalau yang baik kita ambil dan yang buruk itu letak tepi sahaja,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia.
Menerusi drama terbaharunya, Khayreena diberi kepercayaan membawa watak pelajar universiti yang dirasakannya sangat dekat dengan usia sebenarnya.
“Bila dapat watak budak universiti sebenarnya tidak ada rasa pelik sangat sebab kita pun memang dah dewasa. Jadi bila pegang watak macam itu, rasa macam bawa diri sendiri sahaja.
“Rasanya sudah dekat empat tahun saya tidak ada di TV. Kali terakhir saya masuk set rasanya sekitar tahun 2020 atau 2021 selepas PKP.
“Nasib baik barisan pelakon ramai kawan-kawan lama yang sudah kenal dalam tujuh ke 10 tahun macam Firdaus Ghufran dan Sazwan Razak. Bila dah ada keserasian, bab pergaulan itu tidak ada masalah dan cabaran lebih kepada nak menjayakan babak lakonan sahaja,” katanya.
Untuk rekod, Khayreena merupakan kakak kepada pelakon Khayreeshah Kemal dan antara drama terawalnya adalah drama Sirrun yang ditayangkan di TV9.
The post Dulu kerap bawa watak kanak-kanak, harap boleh bawa watak lebih dewasa – Khayreena Kemal appeared first on Utusan Malaysia.






