
ALOR SETAR: Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah dicadang supaya menggesa kerajaan negeri menyediakan Pelan Induk Pembangunan Langkawi yang komprehensif bagi memastikan pembangunan pulau peranginan itu dilaksanakan secara mampan.
Cadangan itu terkandung dalam usul menjunjung titah Sultan Kedah, Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah serta memperkasa pembangunan Langkawi sebagai permata negeri secara lestari yang dibentangkan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuah, Amar Pared Mahamud.
Menurut Amar Pared, pelan induk itu perlu menjadi dokumen rujukan utama dalam merancang pembangunan Langkawi dengan mengambil kira identiti dan keunikan pulau itu, pemeliharaan alam sekitar serta warisan dan kesejahteraan masyarakat seperti dititahkan Sultan Kedah.
“DUN turut dicadang menyokong usaha kerajaan negeri memperkukuh kedudukan Langkawi sebagai destinasi pelancongan bertaraf dunia dengan menekankan prinsip kelestarian, pemeliharaan alam sekitar dan warisan serta pertumbuhan ekonomi yang inklusif dan berdaya saing.
“Malah, kerjasama strategik antara Kerajaan Persekutuan dengan negeri perlu diperkukuh melalui peningkatan ketersambungan udara dan laut, pemerkasaan status Pulau Bebas Cukai, pembangunan infrastruktur strategik, pemuliharaan aset pelancongan serta promosi pelancongan yang lebih agresif dan bersepadu,” katanya.
Selain itu, Amar Pared berkata, pihaknya menolak sebarang cadangan yang boleh menjejaskan kedudukan Langkawi sebagai sebahagian daripada Kedah, termasuk yang bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan, fakta sejarah, kedaulatan negeri dan kepentingan rakyat.
Beliau turut mengajak rakyat, pemimpin, agensi kerajaan, sektor swasta dan pihak berkepentingan bersama-sama memelihara imej serta reputasi Langkawi bagi mengelakkan sebarang tindakan yang boleh menjejaskan keyakinan pelabur dan industri pelancongan.
Sementara itu, Ketua Pembangkang DUN Kedah, Bau Wong Bau Ek berkata, pelan itu tidak boleh sekadar senarai harapan tetapi merupakan pelan tindakan komprehensif yang menggabungkan kekuatan infrastruktur darat, laut, udara, pemeliharaan alam sekitar dan pembangunan acara berprestij tinggi.
Katanya, realiti dunia telah berubah kerana konsep Pulau Bebas Cukai tidak lagi menjadi pemacu utama kedatangan pelancong disebabkan kenaikan kos logistik dan inflasi harga barang secara global selain jurang harga barangan di Langkawi berbanding tanah besar yang semakin mengecil.
“Pelancong moden tidak lagi datang sekadar untuk membeli periuk atau coklat. Mereka mencari pengalaman autentik, nilai warisan, dan keindahan alam semula jadi serta lebih suka tukarkan keindahan, sajian menarik dan pengalaman baharu,” katanya.
Menggulung usul itu, Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan Kedah, Datuk Mohd. Salleh Saidin berkata, kerajaan negeri telah mengambil langkah mewujudkan inisiatif Langkawi Care yang memfokuskan kepada kesedaran, penglibatan dan peningkatan standard industri pelancongan secara bersama.
“Inisiatif ini akan melibatkan agensi-agensi kerajaan, komuniti setempat, pelancong dan pemain industri secara menyeluruh, dengan setiap satu memainkan peranan yang bersesuaian.
“Ini bermakna, semua pihak akan terlibat sama dalam memelihara dan menggemilangkan Langkawi dan kita berharap dengan adanya inisiatif ini, yang akan menyaksikan pelbagai aktiviti bersama dijalankan di lapangan, maka hasrat memupuk rasa sayang dan rasa bangga terhadap Langkawi akan dapat disemai dan disuburkan,“ katanya. – UTUSAN
The post DUN Kedah mahu Pelan Induk Pembangunan Langkawi diwujudkan appeared first on Utusan Malaysia.



