MVV mesti ikut pelan induk jika BN menang PRN

LocalPolitics
25 Jul 2026 • 12:11 AM MYT
Kosmo Online
Kosmo Online

Hub berita berintegriti dan sensasi dalam dan luar negara.

Image from: MVV mesti ikut pelan induk jika BN menang PRN

SEREMBAN – Pembangunan Malaysia Vision Valley (MVV) perlu dikembalikan kepada pelaksanaan berdasarkan pelan induk (master plan) bagi memastikan kawasan pembangunan berskala besar itu dirancang secara tersusun sekiranya Barisan Nasional (BN) diberi mandat mentadbir Negeri Sembilan.

Timbalan Pengerusi BN, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, pembangunan MVV tidak boleh dibuat secara berpecah-pecah menerusi penjualan lot atau parcel mengikut perancangan pemaju semata-mata kerana ia boleh menjejaskan reka bentuk keseluruhan kawasan.

Beliau berkata, projek berkenaan memerlukan pemaju utama (master developer) yang bertanggungjawab memastikan setiap pembangunan mematuhi reka bentuk asal termasuk aspek jalan raya, sistem perparitan dan infrastruktur sokongan.

“Sekarang ini MVV, dia jual bidang tanah (parcel). Tak boleh macam itu kerana ia mesti ikut master plan. Kalau kita buat parcel-parcel begitu mengikut kehendak pemaju, ia akan menyusahkan.

“Mesti ada master developer yang memastikan pembangunan reka bentuk utama untuk Malaysia Vision Valley itu dipatuhi, termasuk jalan dan paritnya,” katanya dalam sidang media selepas pelancaran manifesto BN di sini.

Beliau berkata, MVV adalah pembangunan berskala besar yang melibatkan kawasan beratus ribu hektar dan memerlukan perancangan teliti supaya tidak timbul masalah kepada rakyat pada masa depan.

Menurutnya, pembangunan tanpa mengikut pelan induk boleh menyebabkan isu penyelarasan apabila kawasan dibangunkan secara berperingkat.

“Ini pembangunan besar, meliputi kawasan lebih 100,000 hektar. Kalau tidak ikut betul-betul master plan, ia akan menyusahkan rakyat kemudian hari.

“Kita buat yang tepi jalan dahulu, kemudian blok kedua dan ketiga, tetapi longkang dan jalan bagaimana? Itu akan menjadi masalah jika tidak ikut pelan induk,” katanya.

Katanya lagi, pelan pembangunan MVV sebelum ini turut mendapat pandangan daripada pakar perancangan bandar bertaraf antarabangsa bagi memastikan projek itu menjadi sebuah bandar moden yang mampan dan terancang.

“Atara institusi yang terlibat ialah Princeton University, Harvard University, University of Cambridge, National University of Singapore (NUS) dan Tsinghua University, yang masing-masing menyumbang pandangan dalam penyediaan pelan pembangunan tersebut,” katanya.

Mohamad berkata, pematuhan terhadap pelan induk MVV penting bagi memastikan pembangunan itu memberi manfaat jangka panjang kepada Negeri Sembilan serta rakyatnya.- KOSMO! ONLINE

The post MVV mesti ikut pelan induk jika BN menang PRN appeared first on Kosmo Digital.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved