
ALOR SETAR: Kedah perlu menyemak semula kadar cukai tanahnya dalam masa terdekat atau perkara dasar itu terpaksa ditangguhkan sehingga 2036 apabila kutipan itu menyumbang kepada 70 peratus hasil negeri.
Menteri Besar, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor berkata, keperluan melaksanakan semakan itu juga tidak dapat dielakkan apabila kerajaan negeri masih bergantung kepada kadar yang disemak kali terakhir pada 10 tahun lalu.
Menurutnya, semakan tersebut turut merujuk kepada Pulau Pinang yang mula melaksanakan kutipan kadar baharu pada tahun ini termasuk pemberian rebat supaya yang cukai baharu itu tidak membebankan.
“Baru-baru ini, saya bertanya kepada Ketua Menteri Pulau Pinang yang mula melaksanakannya tahun ini dengan kadar baharu semakan baharu dengan memberikan rebat. Kadar disemak, tetapi rebat diberikan sebagai kaedah untuk mengurangkan beban sekiranya berlaku kenaikan. Jadi, kenaikan itu tidak terlalu menekan rakyat,” katanya.
“Keperluan untuk membuat semakan ini tidak dapat dielakkan untuk hasil negeri. Kali terakhir kita melaksanakan semakan adalah pada 2016. Kalau kita tidak buat semakan dalam 10 tahun ini semakan seterusnya pada 2036.
“Jadi kita akan mentadbir negeri dengan dengan hasil cukai tanah berdasarkan kadar 2016. Jurang tempoh itu terlalu besar,” katanya menjawab soalan lisan daripada Azhar Ibrahim (PN-Ayer Hitam) pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) di Wisma Darul Aman di sini hari ini.
Beliau menambah, bagaimanapun permohonan semakan itu masih belum mendapat kelulusan daripada Majlis Tanah Negara (MTN) di bawah Kerajaan Persekutuan selepas ia dikemukakan pada 2024.
“Cadangan semakan kadar cukai tanah ini dibentangkan semula dalam mesyuarat MTN ke-83 pada 5 Oktober lepas. Ketika ini Pentadbiran Tanah Negeri Kedah sedang menunggu cabutan minit mesyuarat itu bagi kelulusan kadar cukai tanah Kedah,” jelasnya.
Tambah Muhammad Sanusi (PN-Jeneri), kerajaan negeri bagaimanapun memberi jaminan kenaikan tersebut tidak akan membebankan pemilik tanah di negeri ini melalui pelaksanaan langkah tertentu seperti pemberian rebat.
“Semakan (cukai tanah) itu bukan dibuat secara bersendirian. Kita membuat perbandingan dengan negeri lain dan mengadakan beberapa bengkel. Sekurang-kurangnya dibandingkan dengan empat negeri yang melaksanakan semakan sebelum ini,” ujarnya. – UTUSAN
The post DUN Kedah: Semak semula kadar cukai tanah appeared first on Utusan Malaysia.






