Kedah tidak boleh tangguh semakan cukai tanah

LocalPolitics
17 Nov 2026 • 11:21 AM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: Kedah tidak boleh tangguh semakan cukai tanah

ALOR SETAR: Kedah perlu menyegerakan semakan cukai tanah yang kali terakhir dilakukan pada 2016 bagi mengelakkan menggunakan kadar lama sehingga 2036.

Menteri Besar, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkata, keperluan melaksanakan semakan itu juga tidak dapat dielakkan memandangkan kutipan hasil tanah itu menyumbang sebanyak 70 peratus daripada hasil negeri.

“Keperluan untuk membuat semakan ini tidak dapat dielakkan untuk hasil negeri. Kali terakhir kita melaksanakan semakan adalah pada 2016. Kalau kita tidak buat semakan dalam 10 tahun ini semakan seterusnya pada 2036.

“Jadi kita akan mentadbir negeri dengan dengan hasil cukai tanah berdasarkan kadar 2016. Jurang tempoh itu terlalu besar,” katanya menjawab soalan lisan daripada Azhar Ibrahim (PN-Ayer Hitam) pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) di Wisma Darul Aman di sini hari ini.

Beliau menambah, permohonan semakan dikemukakan pada 2024 itu bagaimanapun belum mendapat kelulusan daripada Kerajaan Persekutuan khususnya agensi terlibat iaitu Majlis Tanah Negara (MTN).

“Cadangan semakan kadar cukai tanah ini dibentangkan semula dalam mesyuarat MTN ke-83 pada 5 Oktober lepas. Ketika ini Pentadbiran Tanah Negeri Kedah sedang menunggu cabutan minit mesyuarat itu bagi kelulusan kadar cukai tanah Kedah.

“Kita perlu mendapatkan kelulusan sebelum akhir November ini. Jika terlepas sehingga Disember, kita perlu menunggu setahun lagi,” katanya.

Tambah Muhammad Sanusi (PN-Jeneri), kerajaan negeri bagaimanapun memberi jaminan kenaikan tersebut tidak akan membebankan pemilik tanah di negeri ini melalui pelaksanaan langkah tertentu seperti pemberian rebat.

“Semakan (cukai tanah) ini bukan dibuat secara bersendirian. Kita membuat perbandingan dengan negeri lain dan mengadakan beberapa bengkel. Sekurang-kurangnya dibandingkan dengan empat negeri yang melaksanakan semakan sebelum ini.

“Baru-baru ini, saya bertanya kepada Ketua Menteri Pulau Pinang yang mula melaksanakan tahun ini dengan kadar baharu semakan baharu dengan memberikan rebat. Kadar disemak, tetapi rebat diberikan sebagai kaedah untuk mengurangkan beban sekiranya berlaku kenaikan. Jadi, kenaikan itu tidak terlalu menekan rakyat,” katanya. – UTUSAN

The post Kedah tidak boleh tangguh semakan cukai tanah appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved