Kedah desak MTN segerakan semakan cukai tanah, kadar tidak berubah sejak 2016

LocalPolitics
17 Nov 2026 • 3:52 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Kedah desak MTN segerakan semakan cukai tanah, kadar tidak berubah sejak 2016 Image from: Kedah desak MTN segerakan semakan cukai tanah, kadar tidak berubah sejak 2016 liza17/11/2026 - 15:52 Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN liza@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 17 Nov – Kelewatan mendapatkan keputusan Majlis Tanah Negara (MTN) berhubung cadangan semakan kadar cukai tanah meletakkan usaha kerajaan Kedah untuk menyemak semula kadar berkenaan dalam keadaan tergantung, meskipun kadar sedia ada tidak berubah sejak 2016.

 

Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkata, kerajaan negeri masih menunggu keputusan berhubung cadangan semakan itu yang dibentangkan semula dalam Mesyuarat MTN Ke-83 pada 5 Oktober lalu.

 

Beliau berkata, keputusan berkenaan penting bagi membolehkan kerajaan negeri meneruskan proses berkaitan termasuk pewartaan kadar cukai tanah baharu yang disasarkan pada Disember ini.

 

Menurut Sanusi, kerajaan negeri berharap cabutan minit mesyuarat berkenaan dapat diperoleh sebelum akhir November ini bagi membolehkan tindakan selanjutnya dilaksanakan mengikut perancangan.

 

“Semakan semula kadar cukai tanah tidak boleh terus ditangguhkan lagi kerana ia penting bagi memastikan hasil kerajaan negeri dapat diselaraskan dengan keadaan semasa. 

 

Semakan terakhir pada 2016

“Kali terakhir semakan dilaksanakan adalah pada 2016 dan sekiranya tiada semakan baharu dibuat dalam tempoh 10 tahun ini, Kedah mungkin perlu menunggu sehingga 2036 untuk melaksanakannya.

 

“Ini akan menyebabkan kerajaan negeri terus bergantung kepada kutipan cukai tanah berdasarkan kadar yang ditetapkan sedekad lalu,” katanya ketika menjawab soalan lisan Azhar Ibrahim (PAS-Ayer Hitam) pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah hari ini.

 

Semakan berkenaan melibatkan kira-kira 830,000 hak milik tanah di seluruh negeri, sekali gus memerlukan penelitian terhadap pelbagai kategori dan kadar cukai yang berkaitan.

 

70% hasil utama negeri berkaitan tanah

Isu semakan itu turut mempunyai implikasi terhadap kedudukan kewangan Kedah memandangkan hasil cukai tanah dan bayaran berkaitan tanah menyumbang kira-kira 70% daripada pendapatan utama kerajaan negeri.

 

Antara komponen hasil berkenaan termasuk cukai tanah, premium tanah, fi pendaftaran, royalti serta bayaran lain yang berkaitan dengan urusan tanah.

 

Justeru, semakan kadar berkenaan dilihat penting bagi memastikan hasil negeri dapat diselaraskan dengan keadaan semasa, selepas kadar sedia ada tidak berubah selama sedekad.

 

Pewartaan disasar Disember

Beliau berkata kerajaan negeri menyasarkan proses pewartaan kadar baharu dapat diselesaikan pada Disember ini sekiranya keputusan MTN diperoleh mengikut tempoh yang diharapkan.

 

Dalam masa sama, kerajaan negeri turut mengambil kira kesan semakan itu terhadap pemilik tanah, termasuk kemungkinan menyediakan mekanisme rebat bagi mengurangkan beban sekiranya berlaku peningkatan kadar.

 

Bagaimanapun, kadar baharu dan bentuk pelaksanaan semakan masih bergantung kepada keputusan serta proses kelulusan yang perlu diselesaikan terlebih dahulu.

 

Perkembangan itu menjadikan keputusan MTN sebagai penentu penting kepada hala tuju semakan cukai tanah Kedah selepas 10 tahun, selain menentukan sama ada sasaran pewartaan pada Disember ini dapat dicapai. - DagangNews.com

Terkini standard
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved