DUN Kelantan: LTU Sungai Peria-Kampung Laloh lewat, siap Disember 2028

29 Oct 2026 • 11:19 AM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: DUN Kelantan: LTU Sungai Peria-Kampung Laloh lewat, siap Disember 2028

KOTA BHARU: Projek Lingkaran Tengah Utama (LTU) Seksyen 1B dari Kampung Sungai Peria ke Kampung Laloh, dekat sini sepanjang 14.75 kilometer mengalami kelewatan.

Pengerusi Jawatankuasa Kerjaraya, Infrastruktur, Air dan Pembangunan Luar Bandar Negeri, Datuk Dr. Izani Husin berkata, projek berkenaan ketika ini mencatatkan kemajuan fizikal sebenar 15.37 peratus, berbanding 16.81 peratus mengikut jadual.

“Pembinaan projek yang bermula pada 24 Februari 2025 itu kini mempunyai tarikh siap semasa pada 24 Disember 2028, berbanding sasaran asal Februari 2028.

“Perkembangan itu berdasarkan pelaporan Kementerian Kerja Raya (KKR) dalam Mesyuarat Jawatankuasa Pemandu Projek Khas (JPPK) bagi Projek LTU dan Projek Lebuhraya Kota Bharu-Kuala Krai (KBKK) Negeri Kelantan (Task Force) Bilangan 4 Tahun 2026 pada 20 September lalu,” katanya semasa menjawab soalan dikemukakan Mohd Fauzi Abdullah (Pas-Manek Urai) pada Persidangan Kali Ketiga (Belanjawan) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan, di sini hari ini.

Semalam media melaporkan, projek LTU di Kelantan dijangka siap sepenuhnya menjelang 2028, melibatkan jajaran sepanjang 107.41 kilometer dari Kuala Krai hingga Gua Musang.

Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi dilaporkan berkata, pelaksanaan projek berkenaan melibatkan 10 subpakej di Kelantan dengan kos keseluruhan sebanyak RM3.08 bilion. – UTUSAN

.

The post DUN Kelantan: LTU Sungai Peria-Kampung Laloh lewat, siap Disember 2028 appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved