Lebuh raya LTU di Kelantan dijangka siap sepenuhnya 2028

27 Oct 2026 • 3:55 PM MYT
Kosmo Online
Kosmo Online

Hub berita berintegriti dan sensasi dalam dan luar negara.

Image from: Lebuh raya LTU di Kelantan dijangka siap sepenuhnya 2028

KUALA LUMPUR – Projek Lebuh Raya Lingkaran Tengah Utama (LTU) di Kelantan dijangka siap sepenuhnya menjelang 2028, melibatkan jajaran sepanjang 107.41 kilometer dari Kuala Krai hingga Gua Musang.

Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, pelaksanaan projek berkenaan melibatkan 10 subpakej di Kelantan dengan kos keseluruhan sebanyak RM3.08 bilion.

Menurut beliau, semua subpakej di negeri itu kini berada dalam fasa pelaksanaan, manakala empat subpakej LTU di jajahan Gua Musang disasarkan siap pada penghujung 2028.

Katanya, kerajaan memberi perhatian serius terhadap usaha mempercepatkan pelaksanaan projek berkenaan, termasuk menangani kelewatan pembinaan dan memastikan keselamatan pengguna jalan raya sentiasa diutamakan.

“Pelantikan kontraktor penyiap bagi Pakej 3, Seksyen 3B dan 3C kini berada pada peringkat akhir proses perolehan, dengan pengeluaran Surat Setuju Terima (SST) disasarkan pada pertengahan November 2026, tertakluk kepada kelulusan Kementerian Kewangan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika sesi penggulungan perbahasan Belanjawan 2027 peringkat dasar di Dewan Rakyat hari ini.

Mengulas kejadian lubang benam di laluan Persekutuan FT08 berhampiran Taman Rekreasi Kesedar Putra, Gua Musang, Nanta berkata, laluan berkenaan telah ditutup sepenuhnya sejurus kejadian bagi menjamin keselamatan pengguna.

Laluan alternatif turut disediakan menerusi Jalan Pulai ke Bandar Baharu Gua Musang (FT2747), manakala Jabatan Kerja Raya (JKR) mengambil tindakan segera dengan memasang jambatan Bailey bagi memastikan perhubungan tidak terputus.

“Sehingga 20 Oktober lalu, pemasangan jambatan Bailey itu telah selesai dan kerja turapan jalan dijadualkan siap pada 25 Oktober, tertakluk kepada keadaan tapak.

“Bagi penyelesaian jangka panjang, pembetung sedia ada jenis Corrugated Metal Pipe akan digantikan dengan pembetung jenis Box Culvert, selain kerja pembersihan saliran serta pembinaan semula sistem perparitan dan struktur jalan,” jelasnya.

Langkah itu bertujuan mengurangkan risiko kegagalan struktur, meminimumkan kos penyelenggaraan dan memastikan sistem saliran lebih selamat serta cekap.

Dalam perkembangan berkaitan, projek Lebuh Raya Kota Bharu-Kuala Krai sepanjang 70.4 kilometer mencatatkan kemajuan 78.80 peratus berbanding jadual 78.98 peratus.

Satu pakej membabitkan jajaran Pasir Hor hingga Kadok telah siap, manakala baki lima pakej lagi sedang dalam pembinaan dan dijangka siap pada 2027.

Nanta berkata, KKR melalui JKR akan terus memantau kemajuan fizikal projek, menyelesaikan isu pelaksanaan serta memastikan kontraktor mematuhi spesifikasi dan jadual kerja yang ditetapkan. – KOSMO! ONLINE

The post Lebuh raya LTU di Kelantan dijangka siap sepenuhnya 2028 appeared first on Kosmo Online.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved