DUN Lembah Jaya anjur sambutan Aidilfitri, kukuh semangat komuniti tanpa belanja besar

LocalPolitics
18 Mar 2026 • 5:13 PM MYT
Media Selangor
Media Selangor

Berita dan isu semasa, inklusif untuk semua.

image is not available

KUALA LUMPUR, 18 MAC: Dewan Undangan Negeri (DUN) Lembah Jaya memilih pendekatan menganjurkan sambutan Aidilfitri secara kecil-kecilan tahun ini bagi memastikan kemeriahan perayaan terus dirasai masyarakat setempat.

Ahli Dewan Negeri Lembah Jaya, Syed Ahmad Syed Abdul Rahman Alhadad atau Altimet berkata penganjuran itu selaras dengan saranan Kerajaan Negeri yang membenarkan sambutan diadakan secara sederhana.

Menurutnya, pendekatan tersebut memberi penekanan kepada pengukuhan semangat komuniti tanpa melibatkan perbelanjaan besar.

image is not available
Ahli Dewan Negeri Lembah Jaya Syed Ahmad Syed Abdul Rahman Alhadad ditemui media dalam Program Santuni Kasih Ramadan 2026 di Taema Bungalow, Ampang pada 17 Mac 2026. Foto MOHD KHAIRUL HELMY MOHD DIN/MEDIASELANGOR

“Kita adakan majlis sambutan Aidilfitri dalam skala kecil mengikut zon bagi memastikan masyarakat masih dapat meraikan perayaan ini bersama-sama,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui dalam program Santuni Kasih Ramadan 2026 di Taema Bungalow, di sini semalam.

Terdahulu, kerajaan memutuskan semua kementerian, agensi serta syarikat berkaitan kerajaan (GLC) tidak menganjurkan majlis rumah terbuka Aidilfitri tahun ini.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata keputusan yang dipersetujui Jemaah Menteri itu bertujuan memberi mesej jelas bahawa kerajaan komited mengamalkan pendekatan lebih sederhana dan berhemah dalam perbelanjaan susulan ketidaktentuan ekonomi global akibat konflik di Asia Barat.