DUN Melaka dijangka bubar hari ini

LocalPolitics
22 Sep 2026 • 10:59 AM MYT
Kosmo Online
Kosmo Online

Hub berita berintegriti dan sensasi dalam dan luar negara.

Image from: DUN Melaka dijangka bubar hari ini

MELAKA – Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka dijangka dibubarkan hari ini bagi membuka laluan kepada Pilihan Raya Negeri (PRN).

Pengumuman pembubaran itu dijangka dibuat oleh Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Ab. Rauf Yusoh pada pukul 3 petang ini dalam sidang akhbar khas di Kompleks Seri Negeri, Ayer Keroh.

Menurut sumber, Ab. Rauf akan mempengerusikan mesyuarat Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) pada tengah hari ini sebelum menghadiri Mesyuarat Post-Exco pada pukul 2 petang di Auditorium Seri Negeri.

Katanya, surat panggilan kepada barisan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Barisan Nasional (BN) untuk hadir ke Seri Negeri pada pukul 2.30 petang ini telah dikeluarkan sejak semalam.

Difahamkan, surat pembubaran DUN telah ditandatangani Yang Dipertua Negeri Melaka, Tun Dr. Mohd. Ali Mohd. Rustam sebelum beliau berangkat ke Jepun.

Bagaimanpun setakat ini tiada pengumuman rasmi dibuat mengenai pembubaran tersebut.

Untuk rekod, DUN Melaka mempunyai 28 kerusi dengan mandat kerajaan negeri ketika ini akan berakhir pada 31 Disember depan sekiranya tidak dibubarkan lebih awal.

PRN Melaka sebelum ini diadakan pada 20 November 2021 selepas DUN dibubarkan pada Oktober tahun sama susulan krisis politik yang menyaksikan beberapa ADUN menarik balik sokongan terhadap kerajaan ketika itu.

Pada PRN Melaka terdahulu, BN memenangi 21 daripada keseluruhan 28 kerusi DUN, manakala Pakatan Harapan (PH) memperoleh lima kerusi dan Perikatan Nasional (PN) menang dua kerusi.

Daripada lima kerusi yang dimenangi PH, DAP menguasai empat kerusi iaitu Ayer Keroh, Kesidang, Kota Laksamana dan Bandar Hilir, manakala satu lagi kerusi dimenangi Amanah di Bukit Katil.

Kemenangan BN dalam PRN Johor dan Negeri Sembilan baru-baru ini turut menjadikan Melaka sebagai fokus seterusnya dalam siri PRN selepas gabungan itu mencatat keputusan dengan menguasai 48 daripada 56 kerusi dan 18 daripada 36 kerusi di dua negeri berkenaan.

Perkembangan itu turut memberi suntikan kepada gerak kerja jentera BN Melaka, dengan perhatian kini terarah kepada sejauh mana momentum kemenangan berkenaan dapat diteruskan dalam PRN negeri ini.- KOSMO! ONLINE

The post DUN Melaka dijangka bubar hari ini appeared first on Kosmo Online.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved