Hanya RM800 juta rizab Negeri Sembilan boleh diguna

LocalBusiness & Finance
18 Aug 2026 • 8:13 PM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: Hanya RM800 juta rizab Negeri Sembilan boleh diguna

SEREMBAN: Hanya sebanyak RM800 juta daripada keseluruhan rizab kerajaan Negeri Sembilan berjumlah RM1.3 bilion boleh digunakan.

Menter Besar, Datuk Ismail Lasim berkata, baki rizab berkenaan terdiri daripada wang amanah termasuk peruntukan Sistem Maklumat Rekod-Rekod Jalan Raya Malaysia (MARRIS) yang penggunaannya tertakluk kepada tujuan ditetapkan.

Menurutnya, wang amanah itu masih berada dalam simpanan kerajaan negeri namun tidak boleh digunakan sewenang-wenangnya kecuali dalam keadaan tertentu yang memerlukan.

“Jumlah keseluruhan RM1.3 bilion itu dalam poket kita, cuma yang boleh kita pakai dalam keadaan biasa sekitar RM800 juta sahaja.

“Tetapi kalau kita dalam keadaan tertentu seperti pandemik dan sebagainya, kita perlukan sangat, masih boleh kita guna pakai wang amanah ini juga kerana ia masih dalam poket kerajaan negeri,” katanya ketika menggulung perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan Tambahan 2026 pada persidangan khas DUN di sini, hari ini.

Bagaimanapun, Ismail berkata, kedudukan kewangan kerajaan negeri adalah stabil dengan hasil tahun lalu merekodkan RM785.2 juta iaitu tertinggi dalam sejarah Negeri Sembilan.

Katanya, pencapaian itu merupakan hasil usaha sama Kerajaan Perpaduan terdahulu dan wajar diiktiraf.

Terdahulu dalam sesi perbahasan, Datuk Seri Jalaluddin Alias (BN-Pertang) menggesa kedudukan rizab diperincikan dalam DUN supaya rakyat memahami kedudukan kewangan sebenar kerajaan negeri, khususnya perbezaan antara rizab yang boleh digunakan dengan wang amanah.

Jalaluddin berkata, berdasarkan penjelasan Pegawai Kewangan Negeri, rizab kerajaan pada 2025 adalah sekitar RM686 juta, manakala selebihnya terdiri daripada tabung amanah.

Katanya, antara komponen terbesar wang amanah itu ialah peruntukan MARRIS yang penggunaannya terikat kepada tujuan berkenaan.

“Kalau kita gunakan wang MARRIS RM300 juta, dana ataupun rizab kerajaan turun daripada RM1.2 bilion pergi ke RM800 juta.

“Rakyat akan persoalkan kepimpinan Kerajaan BN-PN ‘betul Barisan Nasional sakau dan ambil duit daripada RM1.2 bilion jatuh RM800 juta dalam tempoh yang singkat’. Ini yang saya soal dan perlu dijelaskan,” katanya.

Sementara itu, Datuk Dr Mohamad Rafie Abd. Malek (PN-Ampangan) berkata, kerajaan negeri perlu memastikan peruntukan yang tersedia dimanfaatkan sebaiknya untuk meningkatkan kemudahan asas rakyat, termasuk jalan raya dan sistem saliran.

Katanya, perancangan pembangunan untuk tempoh lima tahun sehingga 2028 juga perlu diberi tumpuan kepada usaha memperluaskan kitaran ekonomi menerusi pembangunan dalaman dan pelaburan berimpak tinggi.

“Kita tak mahu lagi mendengar peruntukan dana MARRIS ratusan juta ringgit disimpan dalam simpanan kerajaan negeri tetapi jalan berlubang di sana sini.

“Perumahan di atas bukit pun banjir berlaku… kerana longkang di kiri kanan sama ada kecil ataupun kemajuan yang dibawa, yang diluluskan, tidak menampung jumlah air yang mengalir. Ini atas bukit banjir,” katanya.

Rafie dalam pada itu turut mengingatkan, kerajaan negeri perlu berhati-hati dalam mengumumkan angka rizab bagi memastikan rakyat tidak disalahfahamkan mengenai jumlah dana yang sebenar boleh digunakan untuk pentadbiran dan pembangunan. – UTUSAN

The post Hanya RM800 juta rizab Negeri Sembilan boleh diguna appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved