DUN Sabah bubar hari ini? Hajiji jumpa wakil rakyat kerajaan petang ini

LocalPolitics
6 Oct 2025 • 5:38 AM MYT
Scoop.my
Scoop.my

News You Can Use, Investigative Reports, Sports, Videos, and Analysis

image is not available

KUALA LUMPUR - Satu pertemuan antara Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor dengan wakil rakyat kerajaan akan diadakan petang ini di Menara Kinabalu, Sabah.

Bagaimanapun maklumat lanjut mengenai pertemuan yang dijadualkan 2 petang itu tidak dinyatakan kepada media.

Perkara berkenaan disahkan oleh Jabatan Ketua Menteri Sabah menerusi jemputan liputan media dikeluarkan hari ini.

“Perjumpaan diadakan di Dewan Bankuasi, Aras 3, Menara Kinabalu,” demikian menurut jemputan liputan media itu, lapor Bernama.

Terdahulu spekulasi mengenai pembubaran DUN Sabah hangat selepas Hajiji mengadakan pertemuan dengan Yang Dipertua Negeri Sabah, Tun Musa Aman pagi ini.

Difahamkan pertemuan itu bagi membincangkan mengenai pembubaran DUN Sabah yang dikatakan hari ini, untuk memberi laluan kepada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-17.

DUN Sabah ke-16 dijadualkan terbubar secara automatik pada 11 November ini sekiranya ia tidak dibubarkan lebih awal dari tarikh berkenaan.

Semalam, jurucakap Pejabat Media dan Komunikasi Jabatan Ketua Menteri memaklumkan jemputan media bagi menghadiri pengumuman pembubaran DUN oleh Hajiji akan dimaklumkan pada waktu sesuai.

Pada Khamis lepas, Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) dan Parti Maju Sabah (SAPP) memutuskan untuk keluar daripada Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dan akan bertanding secara solo dalam PRN17.

Perkara itu diputuskan dalam Mesyuarat Majlis Presiden GRS yang dipengerusikan oleh Hajiji yang berlangsung di Sri Gaya.

Namun semalam, Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi menyifatkan tindakan STAR dan SAPP keluar daripada GRS sebagai satu taktik politik lama menjelang PRN Sabah ke-17.

Seramai kira-kira 662,000 pengundi baharu layak menunaikan tanggungjawab mereka pada PRN Sabah yang akan datang, menjadikan jumlah keseluruhan pengundi kepada 1.786 juta.

Jumlah tersebut berdasarkan daftar pemilih sehingga Ogos 2025, yang telah diwartakan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) pada 24 September.

Jumlah keseluruhan pengundi pada PRN Sabah ke-16 pada tahun 2020 ialah seramai 1.124 juta orang. – 6 Oktober, 2025

The post DUN Sabah bubar hari ini? Hajiji jumpa wakil rakyat kerajaan petang ini appeared first on Scoop.