Selangor bentang RUU mahkamah syariah, perkukuh fungsi dan bidang kuasa

LocalPolitics
4 Aug 2026 • 6:46 PM MYT
Media Selangor
Media Selangor

Berita dan isu semasa, inklusif untuk semua.

Selangor bentang RUU mahkamah syariah, perkukuh fungsi dan bidang kuasa

SHAH ALAM, 4 OGOS: Rang Undang-Undang Mahkamah Syariah (Negeri Selangor) 2026 (RUU EMS) dibentang hari ini bagi memastikan institusi kehakiman itu lebih bebas, berwibawa dan diyakini

RUU berkenaan dibentangkan EXCO Hal Ehwal Agama Islam Dr Mohammad Fahmi Ngah dan sedang dibahaskan hampir 10 Ahli Dewan Negeri Selangor sehingga jam 4.30 petang tadi.

Menurut Dr Mohammad Fahmi, Kerajaan Negeri berpandangan sudah tiba masanya enakmen yang khusus diwujudkan bagi mengasingkan secara jelas fungsi kehakiman daripada fungsi pentadbiran agama Islam.

“Pendekatan ini bukan sahaja selaras dengan prinsip pengasingan kuasa yang menjadi asas kepada sistem keadilan moden, malah memperkukuhkan kedudukan Mahkamah Syariah sebagai sebuah badan kehakiman yang mempunyai identiti, fungsi dan bidang kuasa tersendiri.

“Penggubalan RUU EMS 2026 ini juga merupakan susulan langsung kepada cadangan pindaan Undang-Undang Tubuh Kerajaan Selangor 1959 yang memperuntukkan secara khusus mengenai penubuhan Mahkamah Syariah dalam undang-undang tertinggi Negeri Selangor,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika membentangkan RUU terbabit pada Sidang Dewan Negeri Selangor (DNS) di sini, hari ini.

Tambah Dr Mohammad Fahmi lagi, sejak 2022 hingga Jun tahun ini, sebanyak 134,458 kes telah didaftarkan di semua peringkat Mahkamah Syariah Selangor.

Daripada jumlah tersebut, 116,141 kes didaftarkan di Mahkamah Rendah Syariah, 17,635 kes di Mahkamah Tinggi Syariah dan 682 kes di Mahkamah Rayuan Syariah.

“Statistik ini jelas menunjukkan bahawa Mahkamah Syariah Negeri Selangor mengendalikan jumlah pendaftaran kes syariah yang tinggi dan semakin berkembang.

“Seiring dengan perkembangan tersebut, struktur institusi kehakiman dan sistem rayuan juga perlu diperkasakan bagi memastikan penyampaian keadilan terus dilaksanakan secara cekap, konsisten dan berkesan,” katanya lagi.

Justeru, pelaksanaan RUU berkenaan akan memberi implikasi kewangan kepada Kerajaan Negeri dengan penubuhan Mahkamah Utama Syariah.

Jelasnya, ia sebagai satu lagi peringkat dalam hierarki Mahkamah Syariah Negeri Selangor serta penstrukturan semula organisasi JAKESS bagi menyokong pelaksanaan fungsi kehakiman yang dicadangkan.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved