JKKP Selangor keluar notis larangan susulan dua maut dihempap kren di Kuala Langat

3 Aug 2026 • 8:52 AM MYT
Media Selangor
Media Selangor

Berita dan isu semasa, inklusif untuk semua.

JKKP Selangor keluar notis larangan susulan dua maut dihempap kren di Kuala Langat

SHAH ALAM, 3 OGOS: Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) Selangor mengeluarkan notis larangan di sebuah tapak pembinaan kilang di Kuala Langat susulan kemalangan maut yang mengorbankan dua pekerja warga asing 28 Julai lalu.

Pejabat Pengarah JKKP Selangor dalam kenyataan memaklumkan notis itu dikeluarkan selepas pemeriksaan dan siasatan awal mendapati beberapa kegagalan berkaitan aspek keselamatan serta kesihatan pekerjaan di tapak pembinaan berkenaan.

Antara notis yang dikeluarkan ialah kegagalan menjalankan pentaksiran risiko bagi kerja-kerja konkrit menggunakan kren bergerak, kegagalan menyediakan Pelan Kerja Mengangkat (Lifting Plan) bagi operasi kren serta gagal melantik Penyelia Keselamatan Tapak (Site Safety Supervisor).

Dalam kejadian kira-kira jam 5 petang itu, dua pekerja am masing-masing berusia 40 dan 44 tahun meninggal dunia selepas dihempap struktur kren yang tumbang.

Menurut kenyataan itu, kejadian berlaku ketika kerja menurunkan baldi konkrit (bucket concrete) yang dianggarkan seberat 400 kilogram menggunakan sebuah kren bergerak (mobile crane).

"Kren terbabit dipercayai terjungkit berpunca daripada panjang boom yang dibuka melebihi jarak sepatutnya," menurut kenyataan itu, lapor Harian Metro.

JKKP Selangor berkata, ketika kejadian kedua-dua mangsa berada di kawasan bawah boom sebelum dihempap struktur yang tumbang.

Kedua-dua mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian akibat kecederaan parah di kepala selepas tersepit di antara struktur beam dan fly jib boom. Mayat mereka kemudian dibawa ke Hospital Banting untuk proses bedah siasat.

Susulan kejadian itu, sepasukan pegawai penyiasat diarahkan ke lokasi bagi menjalankan siasatan. Pemeriksaan teknikal mendapati terdapat kerosakan fizikal pada struktur fly jib boom kren terbabit.

Siasatan lanjut turut mendapati tapak projek itu tidak berdaftar dengan JKKP, selain kontraktor utama dan subkontraktor gagal menunjukkan sebarang dokumen berkaitan pengurusan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (KKP) di tapak pembinaan. Kes disiasat mengikut Seksyen 15(1), Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1994.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved