
KUANTAN – Kebakaran hutan yang mengakibatkan negara diselubungi jerebu secara berterusan dikhuatiri menjejaskan industri durian ekoran asap tanah gambut yang memenuhi ruang udara mengandungi pelbagai sebatian negatif yang memberi kesan kepada pokok.
Antara sebatian yang terhasil termasuk campuran abu kasar, jelaga, zarah halus, karbon monoksida, oksida nitrogen, sebatian sulfur dan sebatian organik meruap.
Segala ‘racun’ terapung itu berisiko memberi pelbagai kesan kepada pokok durian termasuk mengubah iklim mikro dusun, permukaan daun, imbangan karbohidrat, kesukaran pembiakan, daya hidup bunga, prestasi debunga, pembentukan, bentuk dan keguguran buah serta kimia tanah.
Sekiranya ia tidak dibendung, statistik nisbah sara diri durian Malaysia yang mencapai 103.7 peratus pada 2024 dikhuatiri akan menjunam.
Data Jabatan Pertanian menunjukkan 568,806 tan hasil pengeluaran durian tahunan dari kawasan bertanam seluas 92,116 hektar, dengan Johor, Pahang dan Kelantan menyumbang lebih dua pertiga daripada pengeluaran negara.
Daripada jumlah itu, sebanyak 43,461.44 tan bernilai RM1.176 bilion dieksport ke China dan Singapura.
Pensyarah Jabatan Sains Tanaman, Universiti Putra Malaysia, Dr. Mohd Firdaus Ismail berkata, jerebu dianggap sebagai faktor yang mungkin menyebabkan buah tidak sempurna, isi durian keras, pemasakan tidak sekata dan perubahan warna ekoran kecacatan pendebungaan.
Katanya, jerebu merupakan ‘kejutan’ kepada sistem pengeluaran yang boleh mengubah cahaya, kimia atmosfera dan iklim mikro dusun, manakala kemarau yang menggalakkan kebakaran pada masa yang sama memberi tekanan kepada pokok, pendebunga dan pekerja.

“Ia mengurangkan dan mengagihkan semula cahaya, mendapan zarah pada daun, membawa gas reaktif serta bahan pencemar sekunder, mengubah iklim mikro, merumitkan proses awan dan hujan, memberi tekanan kepada pendebunga, dan mengehadkan kerja ladang.
“Apabila tekanan ini berlaku serentak dengan kemarau El Nino ketika pembungaan atau perkembangan awal buah, kesan biologi serta komersial boleh saling menguatkan.
“Jadi industri durian premium Malaysia telah mencapai skala yang menjadikan pencemaran atmosfera bukan lagi isu alam sekitar luaran, ia ialah risiko pengeluaran, risiko biodiversiti dan risiko pasaran,” katanya kepada Kosmo!
Baru-baru ini Kosmo! melaporkan masalah jerebu yang melanda negara pada masa ini bukan sahaja meresahkan rakyat yang terpaksa mengehadkan aktiviti harian tetapi turut menimbulkan kebimbangan pekebun durian yang risau hasil tanaman itu termasuk musang king akan terjejas.

Menurut Mohd. Firdaus, jerebu tebal mengurangkan jumlah radiasi suria dan proses fotosintesis ekoran zarah atmosfera menyerakkan dan menyerap cahaya matahari.
Tambahnya, jerebu mengurangkan cahaya dan mengenakan tekanan pencemar, manakala kemarau pula boleh mencetuskan induksi bunga tetapi kemudian menyebabkan kudup atau bunga gugur.
“Bunga durian berkembang terutamanya pada waktu petang dan mempunyai tempoh pendebungaan berkesan yang terhad. Defisit air pada pokok atau tekanan oksidatif akibat pencemar boleh mengurangkan penerimaan stigma, percambahan debunga atau pertumbuhan tiub debunga,” katanya.
Ujar Mohd. Firdaus, jerebu juga mengubah pergerakan pendebunga, jarak penglihatan, pernafasan, penyebaran bau bunga dan ketersediaan sumber makanan alternatif.
“Selepas pembentukan buah, putik durian bersaing hebat untuk karbohidrat, air dan mineral dan pokok yang menghadapi cahaya rendah serta tekanan air mungkin menggugurkan putik untuk melindungi kelangsungan jangka panjangnya.
“Buah yang kekal mungkin matang lebih lambat atau tidak sekata sekiranya bekalan karbon dan pengangkutan air dan nutrien terganggu,” katanya.
The post Durian jadi ‘tak sihat’ angkara jerebu appeared first on Kosmo Online.



![Isu Jerebu: MP Sabak Bernam Titip Pesanan Kepada Prabowo Guna Bahasa Jawa Raih Perhatian Media & Netizen Indo [Video]](https://buzzkini.my/wp-content/uploads/2026/10/perbahasan-MP-Malaysia-tentang-masalah-jerebu-dapat-perhatian-warga-Indo-1024x794.jpeg?t=1792740501)

