Dyson ialah sebuah jenama perkakasan elektrik yang cukup terkenal untuk penawaran perkakasan elektrik seperti pembersih hampagas nirwayar, kipas tanpa bilah, aksesori untuk rambut wanita dan juga fon kepala dengan kipas terbina. Produk terbaru mereka bukanlah sebuah konsep yang baru, tetapi adalah sebuah aksesori yang hadir dengan fungsi-fungsi yang tidak dijangka.

Dyson CameraJet ialah sebuah berus gigi elektrik, yang merupakan jenis produk terbaru oleh Dyson. Berus gigi elektrik bukanlah sebuah produk yang unik, akan tetapi seperti yang mereka selalu lakukan, berus gigi ini hadir dengan pelbagai fungsi terbina yang lain.

Selain daripada memberus gigi dengan fungsi berus elektrik, tangki air terbina boleh digunakan untuk tujuan water-flossing dan berkumur dengan mudah. Fungsi “tembakan air” ini juga adalah salah satu aspek berus gigi yang diketengahkan oleh Dyson kerana tembakan air tersebut adalah sesuatu yang telah diselidik oleh mereka untuk memastikan bahawa tembakan air tersebut tidak menyebabkan kesakitan kepada pengguna, tetapi masih cukup berkuasa untuk membasmi kotoran.
Berus gigi elektrik ini juga hadir dengan sebuah kamera 0.1MP terbina didalam kepala berus gigi tersebut, yang digunakan untuk mengimbas mulut dan gigi pengguna menggunakan teknologi Gap Optical Targeting, untuk mencari lubang ataupun ruang diantara gigi.
Dengan ciri ini, berus gigi ini akan memancutkan air di ruang-ruang ini untuk mengusir kotoran yang mungkin tersangkut diantara gigi dan gusi untuk memudahkan lagi proses pembersihan gigi. Kapasiti tangki air ini juga tidak begitu besar, hanya 12.5ml sahaja untuk membolehkan berus gigi ini hadir dengan rekaan yang padat.

Bahagian berus juga diberikan keutamaan, dimana ia hadir dengan rekaan dan tekstur yang memastikan bahawa ia boleh membersihkan kotoran dari gigi dan gusi, tetapi tidak menyebabkan ketidakselesaan kepada pengguna. Kepala berus CameraJet ini juga hadir dengan tag RFID yang akan memberitahu pengguna bilakah mereka perlu menggantikannya.

Berus gigi CameraJet juga akan dipadankan dengan aplikasi MyDyson untuk memanfaatkan fungsi kamera tersebut untuk melihat keadaan gigi anda, khususnya di bahagian belakang rahang. Dyson mengatakan bahawa fungsi ini hanya digunakan untuk melihat keadaan gigi anda, dan tidak hadir dengan fungsi rakaman untuk keselamatan pengguna.

Dyson tidak mengumumkan berapa lamakah satu cas berus gigi ini boleh bertahan, tetapi mengatakan bahawa mereka juga memperkenalkan dermaga yang membolehkan pengguna untuk bukan sahaja mengecas bateri berus gigi ini, tetapi juga tangki air yang terbina.
Dyson CameraJet ini nampaknya sudah diperkenalkan untuk beberapa pasaran terpilih pada harga $499, dan akan dilancarkan di pasaran-pasaran lain kelak.

