Dzulkefly puji kejayaan HKL sambung tangan anggota polis

LocalHealth & Fitness
12 Nov 2026 • 3:15 PM MYT
Kosmo Online
Kosmo Online

Hub berita berintegriti dan sensasi dalam dan luar negara.

Image from: Dzulkefly puji kejayaan HKL sambung tangan anggota polis

PUTRAJAYA – Kejayaan pasukan pakar Hospital Kuala Lumpur (HKL) menyambung semula tangan Lans Koperal Thierry Rodger Anak Fendy menerusi pembedahan mikrosurgeri selama lapan jam membuktikan keupayaan kepakaran perubatan negara dalam mengendalikan kes kecederaan serius dan kompleks.

Susulan itu, Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad menzahirkan ucapan penghargaan kepada pasukan pakar bedah, doktor, jururawat dan seluruh petugas kesihatan HKL yang terlibat dalam pembedahan itu.

“Alhamdulillah, syukur ke hadrat Ilahi atas perkhabaran gembira mengenai kejayaan pembedahan penyambungan semula tangan (hand replantation) Lans Koperal Thierry Rodger Anak Fendy di HKL.

“Saya ingin mengambil kesempatan ini untuk merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan syabas kepada pasukan pakar bedah, doktor, jururawat dan seluruh petugas kesihatan HKL yang terlibat.

“Penghargaan khusus buat pasukan Pakar Subkepakaran Anggota Atas dan Mikrosurgeri yang diketuai oleh Dr. Allan Ravi Rajagopal dan Dr. Aziz Sabbir Husain atas kejayaan menyempurnakan prosedur lapan jam yang menuntut ketelitian tahap tinggi menggunakan mikroskop pembedahan ini,” katanya hari ini.

Pada masa sama, Dzulkefly turut menzahirkan ucapan kepada pasukan Neurosurgeri HKL yang turut bekerjasama merawat kecederaan di bahagian kepala beliau.

“Dedikasi luar biasa dalam mengendalikan kes kecemasan mikrosurgeri yang sangat kompleks ini amat membanggakan negara.

“Ia sekali gus membuktikan kualiti perkhidmatan perubatan pelbagai disiplin (multidisiplin) di fasiliti kesihatan awam kita berada pada tahap yang cemerlang,” katanya.

Jelasnya, beliau dan seluruh rakyat Malaysia terhutang budi atas keberanian dan pengorbanan Lans Koperal Thierry dalam mempertahankan keselamatan awam.

“Kementerian Kesihatan (KKM) komited untuk memastikan saudara terus menerima rawatan rapi yang menyeluruh bagi menyokong pemulihan fungsi tangan pada tahap seoptimum mungkin.

“Sama-sama kita terus mendoakan agar Lans Koperal Thierry dikurniakan kesembuhan yang sempurna dan semoga ahli keluarganya diberikan ketabahan menghadapi ujian berat ini,” katanya. – KOSMO! ONLINE

The post Dzulkefly puji kejayaan HKL sambung tangan anggota polis appeared first on Kosmo Online.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved