e-Pay NTT Data buka pejabat baharu di Kuching

25/09/2025 - 14:33
Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN
KUALA LUMPUR 25 Sept – e-pay oleh NTT DATA mengukuhkan komitmennya di Malaysia Timur dengan memindahkan operasi Sarawak ke pejabat baharu di Kuching.
Langkah itu bertujuan meningkatkan perkhidmatan kepada rakan peruncit dan pelanggan dalam memastikan mereka terus mendapat akses kepada sistem pembayaran elektronik yang selamat, mudah dan boleh dipercayai.
Sebagai rangkaian tambah nilai prabayar dan kutipan bil terbesar di Malaysia, e-pay mengendalikan lebih 15 juta transaksi setiap bulan.
Pejabat baharu itu dijangka membolehkan syarikat menyokong perniagaan dari semua saiz dalam memenuhi permintaan transaksi digital dan perkhidmatan di kedai yang semakin meningkat di Sarawak dan kawasan sekitarnya.
e-pay adalah anak syarikat NTT DATA Payment Services, yang mempunyai operasi di Malaysia, Thailand dan Filipina.
Ia turut menyediakan pelbagai perkhidmatan termasuk tambah nilai mudah alih, bayaran bil, kredit permainan, pembayaran pinjaman, e-dompet dan tambah nilai perjalanan serta hiburan.
Pada Mac lalu, NTT Data melancarkan sistem kabel dasar laut Malaysia, India, Singapore Transit (MIST) sepanjang 8,100 kilometer, yang menyediakan sambungan terus ke dan dari India.
MIST menghubungkan ketiga-tiga negara itu dengan kampus pusat data canggih milik NTT Data di India, yang apabila beroperasi sepenuhnya akan menampung lebih 500 MW beban IT, sekali gus memperluas kapasiti semasa syarikat sebanyak 1,400 MW kepada lebih 2,200 MW di seluruh dunia.
Ia yang mempunyai kapasiti lebih 200 terabit sesaat (Tbps) dan dijangka siap menjelang Jun 2025, akan menghubungkan secara langsung Malaysia, Singapura, dan Thailand dengan India melalui rangkaian kabel dasar laut.
NTT juga melabur sebanyak RM262.41 bilion secara global dalam tempoh lima tahun dari FY2023 hingga FY2027 untuk kawasan pertumbuhan, termasuk pusat data dan AI. - DagangNews.com
standard




