East West One Group peroleh kelulusan lanjut tempoh pemulihan 3 skim ladang hingga 11 Ogos 2027

LocalBusiness & Finance
21 Aug 2026 • 12:55 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

East West One Group peroleh kelulusan lanjut tempoh pemulihan 3 skim ladang hingga 11 Ogos 2027 Image from: East West One Group peroleh kelulusan lanjut tempoh pemulihan 3 skim ladang hingga 11 Ogos 2027 amree21/08/2026 - 12:55 Oleh AMREE AHMAD amree@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 21 OgosEast West One Group (EWOG) memperoleh mandat kukuh daripada peladang untuk meneruskan usaha pemulihan dan penstrukturan semula tiga skim ladangnya sehingga Ogos 2027, selepas semua resolusi yang dikira dalam mesyuarat peladang diluluskan.

 

Kelulusan tersebut memberi laluan lebih jelas kepada EWOG untuk mempercepat program pemulihan ladang yang sebelum ini berdepan kelewatan, selain membuka ruang kepada peladang memainkan peranan lebih besar dalam memantau perkembangan serta menentukan hala tuju skim berkenaan.

 

EWOG berkata lanjutan tempoh selama setahun kepada 11 Ogos 2027 itu diluluskan dengan sokongan 91.7% peladang bagi East West Horizon Planter’s Scheme, 87.9% bagi East West One Planter’s Scheme dan 83.6% bagi East West Planter’s Scheme 1.

 

Keputusan itu dibuat susulan Mesyuarat Peladang yang berlangsung pada 17 Ogos 2026 dan memberikan mandat kepada syarikat pengurusan masing-masing untuk meneruskan program pemulihan serta penstrukturan semula berdasarkan kerangka yang diluluskan peladang pada Ogos 2024.

 

"Kerangka berkenaan merangkumi pemulihan ladang, penggantungan pulangan bersih bulanan dan pengaturan pembelian semula, selain penggunaan wang yang disimpan dalam akaun amanah bagi tujuan pemulihan," jelasnya dalam kenyataan.

 

Menurut EWOG, pelaksanaan program sebelum ini mengalami kelewatan terutamanya akibat kesukaran mendapatkan pelepasan dana daripada akaun amanah, menyebabkan program pemulihan tidak dapat dilaksanakan mengikut jadual asal.

 

East West One Group_DagangNews2026

 

Kelewatan pelepasan dana itu turut menyebabkan pihak pengurusan mengambil tindakan di mahkamah bagi mendapatkan pelepasan wang secara tepat pada masanya. Selepas proses perundangan yang panjang, EWOG berkata pihaknya berjaya dan kini bersedia meneruskan program dengan sokongan peladang.

 

Lanjutan setahun itu akan memberikan masa tambahan untuk program pemulihan dilaksanakan dengan lebih menyeluruh serta membolehkan keberkesanannya dinilai. Sepanjang tempoh tersebut, syarikat pengurusan akan meneruskan program dan memberikan laporan perkembangan secara berkala kepada peladang.

 

Pada akhir tempoh lanjutan, mesyuarat peladang baharu akan diadakan bagi membentangkan keputusan program serta mendapatkan arahan berhubung masa depan ladang, termasuk cadangan meneruskan pemulihan, operasi, penjualan atau tindakan lain yang bersesuaian.

 

Bagi mesyuarat Horizon, beberapa resolusi tambahan dikemukakan susulan permintaan peladang di bawah Seksyen 55 Akta Skim Kepentingan 2016. Antaranya penyediaan penyata akaun dan laporan juruaudit serta penglibatan peladang dalam proses penjualan pada masa hadapan melalui profesional bebas seperti penilai, ejen dan peguam.

 

EWOG berkata tumpuan segera sepanjang tempoh lanjutan adalah mempercepat program pemulihan, mengekalkan komunikasi dengan peladang serta menyediakan maklumat mencukupi bagi membolehkan mereka menilai hala tuju setiap ladang selepas tempoh pemulihan berakhir.

 

Sebarang cadangan penjualan ladang pada masa depan akan dibentangkan kepada peladang untuk pertimbangan dan kelulusan dalam mesyuarat peladang berikutnya. - DagangNews.com

Terkini standard
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved