amree20/08/2026 - 11:10 Oleh AMREE AHMAD amree@dagangnews.com KUALA LUMPUR 20 Ogos – PETRONAS Chemicals Group Berhad (PCG) berdepan tekanan harga petrokimia yang dijangka kembali susut selepas mencapai paras tertinggi pada 2QFY26, kata penganalisis.
Mereka menambah, harga produk berkenaan dikhuatiri menurun setelah melonjak besar sekitar April hingga Mei 2026 akibat gangguan bekalan dan ketegangan geopolitik susulan konflik di rantau Timur Tengah.
Pada masa sama, permintaan hiliran yang masih lemah serta lebihan bekalan struktur dalam segmen olefin dan derivatif (O&D), turut memberi kesan besar walaupun permintaan urea pula adalah kukuh.
"Untuk tempoh 2HFY26, harga dijangka kembali normal, sekali gus mengehadkan peningkatan margin PCG dan perkembangan pada Julai 2026 menunjukkan bekalan bertambah baik," jelas MBSB Research.
Katanya, keuntungan teras bagi 2QFY26 berada di atas jangkaannya, dan firma tersebut mengekalkan saranan 'beli' namun menurunkan harga sasaran (TP) kepada RM5.28 daripada RM6.60 sebelum ini.
Bagi 6MFY26, hasil naik 6% kepada RM14.9 bilion, disokong harga purata produk yang lebih baik, walaupun sebahagiannya diimbangi jumlah jualan lebih rendah dan pengukuhan kadar nilai ringgit.

Keuntungan teras PCG pada 6MFY26 ujar MBSB Research, naik lebih 100% kepada RM780 juta disokong margin produk lebih baik serta sumbangan tinggi entiti operasi bersama dan segmen khusus tertentu.
"Segmen fertilizer & methanol (F&M) kekal menjadi pemacu penting PCG manakala keuntungan selepas cukai (PAT) melonjak 80% kepada RM1.7 bilion dipacu peningkatan harga dan jumlah jualan," katanya.
TA Securities pula mengambil pandangan lebih berhati-hati dengan menyifatkan keuntungan teras pada 1HFY26 sebagai di bawah jangkaan dan menjangka prestasi 2HFY26 lemah susulan normalisasi harga.
Menurutnya, segmen O&D terjejas apabila hasil susut 7.4% suku ke suku, terutama akibat kejatuhan jumlah jualan 33.2% susulan kadar penggunaan loji yang lebih rendah sebanyak 56.3% pada 2QFY26.
Bagi F&M, hasil naik 38.1% didorong harga jualan purata lebih tinggi, manakala segmen khusus pula mencatat pertumbuhan hasil 7.3% dipacu keuntungan daripada penjualan hak pelepasan karbon.
"Kami menjangka kadar penggunaan loji PCG pulih kepada 85% pada 3QFY26 selepas selenggara selesai, namun ruang kenaikan margin terhad akibat normalisasi harga petrokimia," kata TA Securities.
Justeru, ia mengekalkan saranan 'jual' dengan TP RM4.32 dengan melihat F&M dan permintaan urea yang tahan lasak menjadi penampan utama kepada PCG," kata firma tersebut. - DagangNews.com





