Eco-Shop berdepan saman, tuntutan cecah lebih RM45 juta berkaitan dakwaan pelanggaran perjanjian sewa

LocalBusiness & Finance
31 Jul 2026 • 6:27 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Eco-Shop berdepan saman, tuntutan cecah lebih RM45 juta berkaitan dakwaan pelanggaran perjanjian sewa Image from: Eco-Shop berdepan saman, tuntutan cecah lebih RM45 juta berkaitan dakwaan pelanggaran perjanjian sewa hamden31/07/2026 - 18:27 Oleh HAMDEN RAMLI editor@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 31 Julai - Eco-Shop Berhad berdepan tindakan undang-undang selepas menerima Writ Saman dan Pernyataan Tuntutan yang difailkan oleh pemilik premis di Georgetown, Pulau Pinang, membabitkan dakwaan pelanggaran perjanjian penyewaan serta perobohan premis tanpa kebenaran.

 

Dalam makluman kepada Bursa Malaysia hari ini, syarikat itu berkata, salinan Writ Saman dan Pernyataan Tuntutan bertarikh 28 Julai 2026 diterima daripada Tetuan Ismail, Khoo & Associates yang bertindak bagi pihak Cheng Heng Yew (CHY) dan Cheng Kar Tong (CKT), selaku wakil di bawah surat kuasa wakil kepada CHY.

 

Selain Eco-Shop, beberapa individu termasuk Kong Ken Meng, Chin Pik Fong, Low Wan Cheong dan Lee Koi Chin turut dinamakan sebagai defendan dalam tindakan tersebut.

 

Menurut syarikat itu, dokumen berkenaan diserahkan kepada peguamcaranya, Tetuan Shook Lin & Bok, melalui e-mel pada 30 Julai 2026 sebelum salinan asal diterima melalui perkhidmatan kurier pada 31 Julai 2026.

 

Plaintif antaranya menuntut supaya Eco-Shop membina semula premis di No. 262, Jalan Gurdwara, Georgetown dalam tempoh dua tahun, selain membayar sewa atau pampasan bulanan sebanyak RM35,000 sehingga Sijil Perakuan Siap dan Pematuhan (CCC) diperoleh.

 

Mereka turut memohon perintah mahkamah supaya syarikat mendepositkan RM20 juta sebagai cagaran bagi menjamin pembinaan semula premis berkenaan atau mengemukakan jaminan bank pada nilai yang sama.

 

Selain itu, plaintif menuntut ganti rugi khas berjumlah RM5.184 juta, ganti rugi teladan sebanyak RM10 juta, ganti rugi teruk RM10 juta, selain ganti rugi am, ganti rugi akibat pelanggaran perjanjian, kerugian ekonomi, pelanggaran kewajipan, faedah pada kadar 5% setahun, kos serta relif lain yang difikirkan sesuai oleh mahkamah.

 

Punca Tindakan Undang-Undang

Eco-Shop berkata, tindakan undang-undang itu berpunca daripada dakwaan pelanggaran Perjanjian Penyewaan antara syarikat dan CHY serta dakwaan perobohan premis tanpa kebenaran yang didakwa menyebabkan kerugian kepada plaintif.

 

Bagaimanapun, syarikat memaklumkan masih belum dapat menentukan kesan kewangan sepenuhnya memandangkan prosiding mahkamah masih di peringkat awal.

 

"Walau bagaimanapun, tuntutan tersebut dijangka tidak akan memberi kesan operasi yang material kepada Kumpulan Eco-Shop," katanya.

 

Syarikat itu turut memaklumkan sedang mendapatkan nasihat daripada peguam bagi mempertahankan dan/atau menyelesaikan tuntutan berkenaan, manakala sebarang perkembangan material akan diumumkan dari semasa ke semasa. - DagangNews.com

Terkini standard
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved