Forest City ulangi komitmen tindakan tegas jika wujud pelanggaran undang-undang oleh Network School 

21 Jul 2026 • 12:26 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Forest City ulangi komitmen tindakan tegas jika wujud pelanggaran undang-undang oleh Network School  Image from: Forest City ulangi komitmen tindakan tegas jika wujud pelanggaran undang-undang oleh Network School  hamden21/07/2026 - 12:26 Oleh HAMDEN RAMLI editor@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 21 Julai - Forest City akan mengambil tindakan sewajarnya dengan menggunakan segala hak di sisi undang-undang serta hak kontraktual yang diperuntukkan sekiranya pihak berkuasa mendapati wujud sebarang pelanggaran berkaitan undang-undang melibatkan Network School.

 

Dalam kenyataan hari ini, syarikat berkata, hasil siasatan berhubung isu berkenaan diyakini mampu terus memperkukuh keyakinan masyarakat dan pelabur terhadap ekosistem Zon Kewangan Khas Forest City (SFZ).

 

"Kami menyambut baik tindakan pantas dan tegas kerajaan dalam menjalankan siasatan berhubung isu melibatkan Network School, selain menghargai profesionalisme yang ditunjukkan oleh pihak berkuasa sepanjang proses tersebut," katanya.

 

Menurut kenyataan itu lagi, pihak syarikat telah memberikan kerjasama sepenuhnya sejak awal siasatan dijalankan dan menyambut baik hasil siasatan yang diumumkan setakat ini.

 

Tambahnya, Forest City turut mengambil maklum kenyataan Menteri Digital, Gobind Singh Deo bahawa sebarang dakwaan berkaitan pelanggaran undang-undang atau syarat pelesenan perlu disiasat secara menyeluruh, dengan tindakan sewajarnya diambil sekiranya wujud sebarang pelanggaran.

 

"Forest City sentiasa beroperasi selaras dengan undang-undang Malaysia, dasar kerajaan serta segala keperluan kawal selia yang berkuat kuasa.

 

"Tiada mana-mana penyewa, pengendali atau organisasi yang mengatasi undang-undang. Sebarang isu berkaitan pelesenan, imigresen atau pematuhan peraturan hendaklah ditentukan oleh pihak berkuasa melalui proses perundangan yang sewajarnya," katanya.

 

Menyokong Aspirasi Kerajaan Negeri Johor

Sebagai pemaju induk, Forest City berkata peranannya adalah menyokong aspirasi Kerajaan Negeri Johor dalam membangunkan Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ) dan Zon Kewangan Khas Forest City (SFZ) sebagai hab pelaburan bernilai tinggi, inovasi digital serta industri berteknologi tinggi yang berdaya saing di peringkat global.

 

Menurut syarikat itu, Network School merupakan antara organisasi yang tertarik kepada ekosistem pelaburan yang ditawarkan di kawasan berkenaan.

 

Bagaimanapun, Forest City menegaskan bahawa seperti mana-mana pelabur, penyewa dan pengendali lain di Forest City, organisasi berkenaan tetap tertakluk kepada undang-undang Malaysia, syarat pelesenan serta keperluan kawal selia yang berkuat kuasa.

 

Syarikat itu berkata, Forest City tidak mempunyai kuasa untuk memberikan sebarang pengecualian kawal selia mahupun mengambil alih fungsi pihak berkuasa atau agensi penguat kuasa.

 

Forest City sekali lagi menegaskan pendirian toleransi sifar terhadap sebarang pelanggaran undang-undang, syarat pelesenan, peraturan imigresen atau penyalahgunaan premis.

 

Dalam pada itu, Forest City menegaskan komitmennya untuk terus menyokong pembangunan JS-SEZ dan SFZ sebagai destinasi pelaburan strategik yang mampu menarik syarikat berteknologi tinggi ke Johor.

 

"Bersama kerajaan dan rakan-rakan industri, kami komited untuk terus menarik lebih banyak syarikat teknologi maklumat dan kecerdasan buatan bertaraf dunia, memacu inovasi serta menyumbang ke arah masa depan Johor dan Malaysia yang lebih maju, mampan dan berdaya saing," katanya. - DagangNews.com

Terkini standard
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved