amree30/10/2026 - 14:50 Foto kredit Mestron Oleh AMREE AHMAD amree@dagangnews.com KUALA LUMPUR 30 Okt — Mestron Holdings Berhad menyasarkan penjanaan hasil tahunan RM7.5 juta melalui perluasan kapasiti loji biogas di Gua Musang, Kelantan, selepas memperoleh kelulusan tarif galakan (FiT) baharu daripada Pihak Berkuasa Pembangunan Tenaga Lestari (SEDA) Malaysia.
Kelulusan menerusi anak syarikat milik tidak langsung milik penuhnya, Liziz Biogas Sdn Bhd itu membolehkan kapasiti eksport bersih elektrik loji berkenaan meningkat kira-kira 18% kepada 2.36 megawatt (MW) berbanding hanya sebanyak 2.00MW sebelum ini.
Menurut makluman kepada Bursa Malaysia, kapasiti terpasang loji itu turut naik 13% kepada 3.12MW daripada cuma 2.76MW, sekali gus membolehkan kumpulan pengeluar tiang keluli itu memperluas operasi penjanaan tenaga boleh diperbaharui (RE) yang dikendalikannya.
"Selain peningkatan kapasiti, Mestron turut memperoleh kadar FiT lebih tinggi iaitu 45 sen sekilowatt-jam (kWh) bagi tempoh 10 tahun pertama dan 43 sen/kWh untuk selama 11 tahun yang berikutnya, berbanding kadar sedia ada iaitu 39.75 sen/kWh," katanya.
Struktur tarif baharu itu ujarnya, menyediakan rangka kerja jualan elektrik RE selama tempoh 21 tahun, bermula pada tarikh permulaan FiT yang dijadualkan pada 17 Ogos 2029, dengan tertakluk kepada pelbagai syarat kelulusan berkaitan.
Bagi menyokong peningkatan kapasiti tersebut, Mestron dalam kenyataan itu merancang mendapatkan dan memasang sebuah lagi penjana enjin gas yang berkapasiti 1.5MW bagi meningkatkan lagi kadar pengeluaran tenaga serta kecekapan operasi loji berkenaan.

Pengarah Urusan Mestron, Por Teong Eng berkata, kelulusan FiT baharu itu mengukuhkan asas komersial operasi biogas kumpulan tersebut di samping memberikan prospek pendapatan jangka panjang yang lebih jelas sepanjang 21 tahun akan datang.
"RE merupakan antara bidang penting untuk kumpulan ini mempelbagaikan perniagaan di luar operasi teras pembuatan tiang keluli, selain membangunkan aset tenaga yang mampu menyumbang pendapatan lebih konsisten.
Loji biogas Gua Musang mula membekalkan elektrik RE kepada Tenaga Nasional Berhad (TNB) pada Mac 2023 dengan memproses sisa kilang kelapa sawit (POME) untuk menangkap gas metana sebelum menukarkannya kepada tenaga elektrik yang disalurkan ke grid nasional.
Berbeza dengan tenaga solar yang bergantung cahaya matahari, loji biogas berupaya menjana elektrik sepanjang masa, tertakluk ketersediaan bahan mentah dan jadual operasi. Ia juga menyokong usaha kerajaan Malaysia menerusi Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR).
Mestron berkata, kumpulan itu akan terus mengembangkan perniagaan teras pembuatan tiang keluli bersama portfolio aset RE yang menjana pendapatan berulang, selain meneroka peluang dalam sektor tenaga solar dan biogas secara berdisiplin. - DagangNews.com





