ECRL Terengganu 99.54% siap, enam stesen bakal buka laluan ekonomi baharu - KSN

LocalBusiness & Finance
26 Nov 2026 • 4:52 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

ECRL Terengganu 99.54% siap, enam stesen bakal buka laluan ekonomi baharu - KSN Image from: ECRL Terengganu 99.54% siap, enam stesen bakal buka laluan ekonomi baharu - KSN liza26/11/2026 - 16:52 Pemangku Raja Terengganu, Tengku Muhammad Ismail Ibni Al-Wathiqu Billah Sultan Mizan Zainal Abidin merasmikan Stesen ECRL Kuala Terengganu di Durian Guling hari ini - Gambar Tengku Mohamad Syamim Tengku Ismail/UPDI Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN liza@dagangnews.com

KUALA TERENGGANU 26 Nov – Pembinaan Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) di Terengganu kini mencapai 99.54% dan bakal membuka laluan ekonomi baharu menerusi jaringan pengangkutan yang menghubungkan negeri itu dengan Kelantan, Pahang dan Selangor apabila operasi komersial bermula pada 12 Disember ini.

 

Pengerusi Malaysia Rail Link Sdn Bhd (MRL), Tan Sri Dr. Shamsul Azri Abu Bakar berkata, jajaran ECRL sepanjang 242 kilometer di Terengganu melibatkan enam stesen yang menyediakan kemudahan pengangkutan penumpang serta perkhidmatan kargo.

 

Beliau yang juga Ketua Setiausaha Negara berkata, kemudahan rel itu dijangka meningkatkan kesalinghubungan antara negeri, sekali gus menyokong perkembangan sektor pelancongan, membuka peluang perdagangan dan merangsang aktiviti ekonomi setempat.

 

Perjalanan dari Kuala Terengganu ke Kota Bharu dijangka mengambil masa kira-kira sejam, manakala perjalanan ke Gombak pula sekitar tiga jam apabila perkhidmatan itu beroperasi kelak.

 

Enam stesen hubungkan penumpang dan sektor kargo

Daripada enam stesen berkenaan, Jerteh, Bandar Permaisuri, Kuala Terengganu dan Kemasik akan menyediakan perkhidmatan penumpang, manakala stesen Dungun dan Chukai turut menampung perkhidmatan kargo.

 

Stesen ECRL Kuala Terengganu yang dibangunkan di kawasan seluas 24.99 hektar menampilkan seni bina berinspirasikan perahu dan ombak, mencerminkan identiti maritim serta warisan pertukangan perahu kayu tradisional negeri itu.

 

Stesen berkenaan turut dilengkapi ruang menunggu penumpang, ruang istirahat kelas perniagaan dan VIP, eskalator, kedai serbaneka serta 500 petak parkir bagi kemudahan pengguna.

 

t

 

Ujian operasi sebelum perkhidmatan komersial

Menurut Shamsul Azri, ECRL kini menjalani ujian percubaan dari 7 November hingga 2 Disember 2026 di bawah kendalian ECRL Operation Sdn Bhd sebagai persiapan menjelang operasi komersial pada 12 Disember ini.

 

Katanya, tenaga kerja tempatan termasuk dari Terengganu turut menjalani latihan bagi memastikan kelancaran operasi serta keselamatan penumpang.

 

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Stesen ECRL Kuala Terengganu di Durian Guling yang disempurnakan Pemangku Raja Terengganu, Tengku Muhammad Ismail Ibni Al-Wathiqu Billah Sultan Mizan Zainal Abidin.

 

Pemangku Raja Terengganu turut berkenan menaiki tren dari Kuala Terengganu ke Dungun bagi merasai sendiri pengalaman menggunakan perkhidmatan ECRL.

 

Secara keseluruhan, kemajuan pembinaan ECRL Fasa 1 mencatatkan 99.03% setakat Oktober lalu. - DagangNews.com

Terkini standard
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved