liza25/11/2026 - 15:13 Menerusi Kempen Visit Truly Terengganu 2027, sebanyak 17 acara utama dan 149 acara sampingan akan mengisi kalendar pelancongan negeri berkenaan Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN liza@dagangnews.com KUALA TERENGGANU 25 Nov – Terengganu merancang menganjurkan 166 acara pelancongan dan kebudayaan sepanjang 2027 bagi menarik 15 juta pelawat untuk memperluas peluang ekonomi kepada komuniti serta pemain industri pelancongan negeri itu.
Menerusi Kempen Visit Truly Terengganu 2027, sebanyak 17 acara utama dan 149 acara sampingan akan mengisi kalendar pelancongan negeri berkenaan.
Jumlah itu mencatatkan peningkatan 53 acara atau kira-kira 47% berbanding 113 acara yang dirancang pada tahun ini, mencerminkan usaha kerajaan negeri memperluas tarikan pelancongan menerusi penganjuran aktiviti yang lebih menyeluruh.
Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim Negeri, Datuk Razali Idris berkata, penyediaan kalendar acara sepanjang tahun merupakan antara pendekatan untuk memastikan Terengganu terus menjadi pilihan pelawat pada setiap musim.
Menurutnya, penganjuran aktiviti berkenaan turut membuka ruang untuk memperkenalkan lebih banyak produk pelancongan negeri termasuk keunikan budaya, keindahan alam semula jadi serta tarikan destinasi tempatan.
Acara sepanjang tahun perluas tarikan pelancongan
Beliau berkata, kehadiran pengunjung menerusi acara yang dianjurkan boleh menjadi pemangkin kepada kunjungan berulang apabila mereka berpeluang meneroka destinasi lain di Terengganu.
"Kita mahu setiap bulan ada beberapa acara yang mampu menarik pengunjung datang ke Terengganu.
"Apabila mereka datang untuk menyertai atau menyaksikan sesuatu acara, mereka akan mengenali pula produk pelancongan yang ada di negeri ini dan seterusnya berpotensi datang semula bersama keluarga," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Pelancaran Kalendar Acara Pelancongan dan Kebudayaan (COE) Kempen Visit Truly Terengganu 2027 di sini.
Razali berkata, strategi berkenaan turut memberi tumpuan kepada pasaran domestik dan antarabangsa bagi memperluas pengiktirafan terhadap produk pelancongan Terengganu.
Katanya, keindahan pantai, pulau, alam semula jadi serta warisan budaya tempatan perlu diketengahkan kepada lebih ramai pelancong, termasuk dari luar negara.
Manfaat ekonomi perlu dirasai rakyat
Dalam pada itu, beliau berkata, kejayaan pelaksanaan kalendar acara berkenaan memerlukan penglibatan menyeluruh kerajaan, sektor swasta, komuniti dan pemain industri pelancongan.
Menurutnya, keberkesanan kempen Visit Truly Terengganu 2027 tidak seharusnya dinilai berdasarkan jumlah kedatangan pelawat semata-mata, sebaliknya turut mengambil kira manfaat ekonomi yang dapat dinikmati masyarakat setempat.
Antara hasil yang diharapkan termasuk peningkatan pendapatan penduduk, pembukaan peluang pekerjaan serta ruang lebih luas kepada usahawan muda untuk mengembangkan perniagaan berkaitan pelancongan.
Beliau turut menggesa semua pemain industri supaya memastikan mutu layanan dan pengalaman pengunjung sentiasa diberikan perhatian bagi menggalakkan mereka kembali melancong ke negeri itu. - DagangNews.com






