
Kota Kinabalu: Seorang penganggur berusia 40 tahun didakwa di Mahkamah Majistret pada Isnin atas pertuduhan mengedar 65.20 gram syabu.
Tiada pengakuan direkodkan daripada Denny Marujin selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Wan Farrah Farriza Wan Ghazali.
Denny didakwa melakukan kesalahan itu kira-kira jam 2.38 petang, 22 Julai lalu di bilik pengimbas badan, Penjara Pusat.
Pertuduhan mengikut Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang boleh dihukum mengikut Seksyen 39B(2) akta sama memperuntukkan hukuman mati atau penjara seumur hidup serta sebatan sekurang-kurangnya 12 kali jika sabit kesalahan.
Pihak pendakwaan memohon tarikh sebutan lanjut sementara menunggu laporan ahli kimia dan tidak menawarkan jaminan kerana kesalahan itu tidak boleh dijamin.
Wan Farrah menetapkan 7 Oktober untuk sebutan semula dan memerintahkan tertuduh terus direman.
Dalam kes berasingan seorang warga China berusia 64 tahun didakwa melakukan ugutan jenayah terhadap seorang wanita yang juga warga China.
Li Bo mengaku tidak bersalah di hadapan Wan Farrah atas pertuduhan melakukan kesalahan itu terhadap wanita berkenaan di sebuah hotel di Jalan Gaya kira-kira jam 10 malam, 5 Ogos lalu.
Pertuduhan mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan menyatakan Li mengugut wanita itu dengan kata-kata “Saya akan rogol ibu kamu, saya akan rogol seluruh keluarga kamu”dengan niat menyebabkan mangsa berasa takut.
Jika sabit kesalahan dia boleh dihukum penjara sehingga tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya.
Mahkamah menetapkan 18 Ogos untuk sebutan semula dan memerintahkan Li terus direman.
Timbalan Pendakwa Raya Noor Hafizah Anggu mengendalikan pendakwaan.






