liza04/11/2026 - 13:01 Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN liza@dagangnews.com KUALA LUMPUR 4 Nov – Edra Power Holdings Sdn Bhd bekerjasama dengan Melaka Corporation (MCORP) untuk membangunkan ekosistem pusat data bersepadu di Melaka dengan sasaran meningkatkan kapasiti bekalan kuasa sehingga 2 gigawatt (GW).
Kerjasama itu merupakan antara usaha Edra menyokong perkembangan industri berteknologi tinggi di Melaka khususnya pusat data yang memerlukan bekalan elektrik stabil dan boleh dipercayai.
Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh berkata, permintaan elektrik di negeri itu dijangka terus meningkat seiring kemasukan lebih banyak industri berteknologi tinggi dan pembangunan pusat data.
“Justeru, perancangan infrastruktur tenaga perlu dilaksanakan lebih awal bagi memastikan keperluan industri pada masa hadapan dapat dipenuhi.
“Selain pembangunan ekosistem pusat data, kerjasama MCORP dan Edra turut merangkumi penerokaan potensi pembangunan Unit Penyimpanan dan Penggasan Semula Gas Asli Cecair Terapung (FSRU) di Tanjung Bidara bagi memperkukuh infrastruktur bekalan gas dan menyokong penjanaan elektrik pada masa hadapan,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas Perasmian Persidangan Jawatankuasa Penjanaan Kuasa Turbin Gas Tahunan CGNEI 2026 yang disempurnakan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Amar Fadillah Yusof di Pusat Latihan EPH, Loji Janakuasa Edra Melaka (EMPP) hari ini.
Edra rancang pelaburan RM6 bilion
Dalam perkembangan berkaitan, Ab Rauf turut menyambut baik cadangan pelaburan Edra bernilai RM6 bilion yang berpotensi mewujudkan lebih 3,000 peluang pekerjaan, sekali gus menyokong pertumbuhan sektor tenaga dan industri di Melaka.
Beliau berkata, usaha menarik pelaburan dalam infrastruktur tenaga dan teknologi canggih perlu disertai pembangunan tenaga kerja tempatan, khususnya golongan muda di negeri itu.
Sehubungan itu, beliau menggesa CGN Energy International Holdings Co Ltd (CGNEI), Edra dan rakan industri menyediakan lebih banyak peluang latihan khusus, penempatan industri serta laluan kerjaya kepada tenaga kerja tempatan.
Permintaan elektrik dijangka meningkat kepada 33.5GW
Sementara itu, Fadillah berkata, permintaan elektrik puncak di Semenanjung Malaysia dijangka meningkat daripada 21.3GW pada 2026 kepada 33.5GW menjelang 2035.
Beliau yang juga Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air berkata, teknologi turbin gas memainkan peranan penting dalam menyediakan penjanaan elektrik yang stabil dan fleksibel, selain menyokong kestabilan sistem grid ketika sumbangan tenaga boleh baharu semakin meningkat.
Menurutnya, kebolehpercayaan bekalan elektrik turut bergantung kepada jaminan bekalan bahan api, penyelenggaraan berkesan, rantaian bekalan yang berdaya tahan serta tenaga kerja berkemahiran.
CGNEI perluas latihan dan kerjasama industri
Dalam perkembangan lain, Pengerusi CGNEI, Zhang Chaoqun berkata, Pusat Latihan Kemahiran Turbin Gas CGNEI di Melaka mempunyai perancangan untuk berkembang sebagai platform antarabangsa bagi pembangunan bakat, pertukaran teknikal dan kerjasama industri.
Beliau berkata, CGNEI turut menyasarkan pembangunan Jawatankuasa Penjanaan Kuasa Turbin Gas sebagai platform terbuka untuk pemain industri berkongsi pengetahuan, sumber dan meneroka peluang kerjasama.
Persidangan itu turut menyaksikan pemeteraian Perjanjian Latihan Bersama antara Pusat Latihan Kemahiran Turbin Gas CGNEI dengan Institut Latihan Tenaga Gas Asli CGN (Hong Kong), selain pelancaran Pusat Kecil Latihan Kelayakan Keselamatan Malaysia dengan kerjasama Institut Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Negara (NIOSH).
Persidangan berkenaan menghimpunkan 120 pemimpin industri, jurutera dan rakan teknologi dari lima negara bagi membincangkan perkembangan teknologi turbin gas, kecekapan operasi loji janakuasa serta kerjasama dalam sektor penjanaan elektrik. - DagangNews.com






