Paramount, Mitsui Fudosan bangunkan projek hartanah RM1.34 bilion di Jalan Ampang

4 Nov 2026 • 12:55 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Paramount, Mitsui Fudosan bangunkan projek hartanah RM1.34 bilion di Jalan Ampang Image from: Paramount, Mitsui Fudosan bangunkan projek hartanah RM1.34 bilion di Jalan Ampang hamden04/11/2026 - 12:55 Oleh HAMDEN RAMLI editor@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 4 Nov – Paramount Corporation Bhd menjalin kerjasama strategik dengan Mitsui Fudosan (Asia) Malaysia Sdn Bhd (MFAM) bagi membangunkan projek pangsapuri perkhidmatan bernilai pembangunan kasar (GDV) RM1.34 bilion di Jalan Ampang, Kuala Lumpur.

 

Kerjasama itu dilaksanakan menerusi cadangan pelupusan 49% kepentingan ekuiti dalam Meridian Kuasa Sdn Bhd (MKSB), anak syarikat milik penuh Paramount, kepada MFAM pada harga tunai RM23.06 juta.

 

Menerusi cadangan itu, Paramount akan mengekalkan pegangan majoriti sebanyak 51% dalam MKSB, manakala baki 49% akan dimiliki MFAM selepas penyempurnaan urus niaga.

 

Paramount dalam makluman kepada Bursa Malaysia berkata, kedua-dua pihak memeterai perjanjian jual beli saham bersyarat serta perjanjian usaha sama pada 4 November 2026 bagi mengawal selia hak dan obligasi masing-masing berhubung MKSB serta operasinya.

 

Projek yang dikenali sebagai The Ashbourne itu akan dibangunkan di atas tanah pegangan bebas seluas kira-kira 14,974 meter persegi di Lot 20009, Seksyen 89A, Bandar Kuala Lumpur, di luar Jalan Ampang.

 

Pembangunan berkenaan merangkumi satu podium dan dua menara kediaman, iaitu Menara A dan Menara B, dengan kira-kira 458 unit pangsapuri perkhidmatan, selain kemudahan tempat letak kereta, aras kemudahan dan komponen sokongan.

 

Projek itu dijangka bermula pada suku keempat 2026 dan siap pada suku keempat 2030.

 

MKSB akan bertindak sebagai pemaju projek, manakala Paramount Property Development Sdn Bhd, anak syarikat milik penuh Paramount, akan mengambil tanggungjawab utama terhadap pengurusan projek serta aktiviti jualan dan pemasaran.

 

Lokasi strategik 

Dari segi lokasi, tanah pembangunan itu dikelilingi beberapa pembangunan kediaman dan komersial bertingkat tinggi, termasuk Hospital Ortopedik ALTY di sebelah utara, Kondominium Desa Angkasa di selatan, Kondominium 183 Ampang dan pembangunan Skyline Embassy di barat serta Dedaun Residence di timur.

 

Paramount berkata, harga pelupusan RM23.06 juta itu ditentukan berdasarkan rundingan antara pembeli dan penjual yang bersedia, dengan mengambil kira nilai pasaran tanah sebanyak RM258 juta berdasarkan penilaian bebas Henry Butcher bertarikh 26 Oktober 2026.

 

Penilaian itu turut mengambil kira aset bersih MKSB yang telah diselaraskan dan belum diaudit berjumlah kira-kira RM47.05 juta pada 31 Ogos 2026, selain rasional usaha sama serta lokasi strategik tanah dan prospek pembangunan.

 

Daripada hasil pelupusan itu, Paramount memperuntukkan RM19.75 juta untuk modal kerja Kumpulan, termasuk perbelanjaan operasi dan pentadbiran, dalam tempoh tiga bulan selepas penyempurnaan urus niaga.

 

Sebanyak RM2.31 juta lagi akan digunakan bagi pembayaran cukai keuntungan modal dalam tempoh dua bulan, manakala baki RM1 juta diperuntukkan untuk perbelanjaan berkaitan pelupusan, termasuk fi profesional, duti setem dan kos lain dalam tempoh sebulan.

 

Peluang kolaborasi jangka panjang

Menurut Paramount, usaha sama itu membolehkannya merealisasikan nilai tanah berkenaan dan membebaskan aliran tunai untuk membiayai inisiatif strategik serta rancangan pengembangan perniagaan Kumpulan pada masa hadapan.

 

Kerjasama dengan MFAM juga dijangka membuka peluang kolaborasi jangka panjang, selain membolehkan kedua-dua pihak memanfaatkan kepakaran dan kehadiran pasaran masing-masing.

 

Paramount turut menjangkakan kerjasama itu dapat memperkukuh profil Kumpulan dalam pasaran hartanah global serta meningkatkan daya tarikan projek berkenaan dan pembangunan lain kepada bakal pembeli berpendapatan tinggi dari peringkat antarabangsa.

 

Selain itu, gabungan kepakaran kedua-dua pihak dijangka menyokong inovasi produk, meningkatkan kecekapan pembangunan, mengoptimumkan kos serta mempertingkatkan kualiti dan kebolehpasaran projek. - DagangNews.com

Terkini standard
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved